UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sultan Kedah saran kukuhkan integriti, tinggi pendapatan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK: Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) bertitah agar graduan universiti ini mengamalkan tadbir urus yang cekap dan berintegriti dalam semua aspek kehidupan.

Baginda menegaskan bahawa tadbir urus, integriti dan graduan yang berpendapatan tinggi adalah perkara yang harus diberi tumpuan pada masa kini.

Titah baginda, ini adalah kerana graduan UUM merupakan graduan kelas pertama yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai pendedahan dan pengalaman dalam urusan kepimpinan serta pengurusan sesebuah organisasi.

“Integriti dan tadbir urus yang baik dan cekap merupakan asas kepada kecemerlangan sebuah organisasi.

“Jatuh bangun sesebuah institusi, syarikat, organisasi, pemimpin atau seseorang individu adalah bergantung kepada integriti yang dimiliki olehnya,” titah baginda pada Sesi 1 Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

Tuanku Canselor bertitah, tadbir urus yang cekap adalah landasan kepada kejayaan sesebuah institusi atau organisasi yang melibatkan pengurusan sumber dengan bijak, memaksimumkan hasil dan mengurangkan pembaziran.

Titahnya lagi, integriti pula adalah nilai asas yang harus dihayati oleh setiap individu kerana integriti tidak hanya bermaksud, tidak melakukan perkara yang salah tetapi juga bermaksud berlaku jujur, adil dan bertanggungjawab dalam semua tindakan yang dilakukan.

Justeru, baginda berharap agar graduan UUM boleh menerajui program-program antirasuah untuk membantu sesebuah organisasi terutamanya dalam konteks tadbir urus yang baik dan berintegriti dengan melaksanakan Pengurusan Risiko Rasuah.

Tuanku Sultan bertitah agar graduan UUM membantu sesebuah organisasi dan majikan dengan mewujudkan Dokumen Pelan Antirasuah Organisasi di mana dokumen tersebut merangkumi pelbagai usaha organisasi untuk mengatasi masalah rasuah yang berlaku.

“Ia merangkumi dasar, prosedur, latihan dan inisiatif yang digunakan untuk mengurangkan risiko rasuah, meningkatkan kesedaran etika dalam kalangan kakitangan dan mempromosikan integriti.

“Pelan ini adalah satu pendekatan yang holistik untuk dilaksanakan bagi memastikan bahawa sesebuah organisasi dapat memerangi rasuah dalam semua aspek operasinya,” titah baginda yang turut menyarankan agar graduan UUM memanfaatkan keupayaan teknologi ‘Artificial Intelligence’ (AI).

Tuanku Canselor percaya UUM boleh memainkan peranan proaktif dalam memperkenal dan melaksanakan perancangan ini.

Hari ini, seramai 81 graduan menerima anugerah dan pingat kecemerlangan akademik serta ijazah masing-masing yang disampaikan oleh Tuanku Canselor.

Selain itu, UUM turut mengurniakan gelaran Profesor Emeritus kepada tiga penerima iaitu Prof. Dr. Ku Ruhana Ku Mahamud, Prof. Dr. Rushaimi Zein Yusoff dan Prof. Dr. Ir Che Sobry Abdullah.

Pada sesi pertama ini juga meraikan 17 graduan sulung bagi empat program baharu iaitu Sarjana Sains Keselamatan Siber (8), Sarjana Sains (Pengurusan Rantaian Bekalan) (3), Sarjana Sains (Pengurusan Projek) (1) dan Sarjana Sains (Pengurusan Pengangkutan dan Logistik (5).