UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sultan Kedah terima menghadap Naib Canselor

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

ALOR SETAR: Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan mendapat perkenan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah, Tuanku Canselor UUM di Pejabat Tuanku di Wisma Darulaman, hari ini.

Pada majlis menghadap tersebut, Mohd Fo’ad telah memperkenalkan diri beliau sebagai Naib Canselor ke-10 UUM, seterusnya menyembah maklum tentang beberapa perkara, antaranya Majlis Konvokesyen Ke-35 tahun 2022 dan Majlis Konvokesyen Ke-36 bagi tahun 2023 serta perkembangan terkini UUM termasuk pencapaian dan kejayaan universiti.

Tuanku Canselor juga disembah maklum tentang pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) dan penawaran program Hybrid and Flexible Learning (HYFLEX).

Tuanku Canselor perkenan terima menghadap Mohd Fo’ad bagi menyembah maklum tentang perkembangan universiti. Mohd Fuad Hamid/UUM Today

Mohd Fo’ad memaklumkan bahawa UUM akan menawarkan lima program Sarjana Muda dan 13 program pascasiswazah secara ODL mulai Oktober tahun hadapan, manakala HYFLEX yang berasaskan kepada 2u2h/3u1h akan bermula pada Oktober 2023 bagi Semester Pertama Sesi 2023/2024 (A231).

Di akhir sesi menghadap berkenaan, Tuanku Canselor telah menzahirkan rasa gembira atas segala perkembangan universiti dan usaha yang dilakukan bagi membuka peluang pembelajaran kepada orang ramai.

Selain itu, Baginda juga menekankan agar UUM memberi khidmat bakti dan kepakaran yang bersesuaian untuk bersama-sama membangunkan negeri Kedah.

Turut serta, Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah dan pegawai-pegawai kanan universiti.