UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sumbangan Aidilfitri KESKA santuni keluarga bekas ahli

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Joezainy Ismail/UUM Today

CHANGLUN: Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA) telah menyantuni keluarga bekas ahli sempena Program Sumbangan Aidilfitri, baru-baru ini.

KESKA yang diketuai Presiden, Affendi Askandar bersama Ahli Majlis Jawatankuasa telah mengunjungi Puan Fuziani Mohd Hussain yang merupakan balu kepada Allahyarham Sarih Zulhilmi di Felda Bukit Tangga dan Puan Shafina Din, balu Allahyarham Farid Zakaria di Kampung Changkat Setol.

Menurut Affendi, program Sumbangan Aidilfitri KESKA ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ke atas ahli mahupun bekas ahli.

“Meskipun ada ahli yang telah meninggal dunia, namun kebajikan keluarga mereka tetap dijaga. Justeru, sumbangan Aidilfitri ini diharapkan dapat meringankan bebanan mereka untuk menyambut Syawal tidak lama lagi.

“KESKA juga ingin memastikan silaturahim dengan keluarga bekas ahli tetap terus terjalin dan pada masa sama, kita sentiasa bertanyakan perkembangan anak-anak yang masih bersekolah ini,” katanya.

Sementara itu, Fuziani berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada KESKA atas sumbangan yang diberikan kepada dia sekeluarga.

Katanya, sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan membantunya membuat persiapan sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Shafina juga turut melahirkan rasa syukur kerana pihak KESKA prihatin dan masih sudi bertanya khabar dan memberi sumbangan kepada dia sekeluarga.

“Sumbangan Ini pastinya menggembirakan terutama anak-anak untuk menyambut hari raya yang bakal tiba meskipun beraya tanpa kehadiran orang tersayang,” ujarnya.

Pada program kali ini, KESKA telah mengunjungi lima keluarga bekas ahli yang telah meninggal dunia dengan memberi Sumbangan Aidilfitri kepada mereka.