UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SCIMPA anjur program mesra alam

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok: Penebangan pokok secara besar-besaran menjadi penyumbang kepada perubahan iklim dan pemanasan global yang menjadi isu mutakhir ini.

Hakikatnya, pokok berperanan menyerap karbon dioksida dari udara yang dapat mengurangkan kesan gas rumah hijau di atmosfera untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.

Prihatin terhadap alam sekitar, Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Sustainable Forestry, baru-baru ini.

Pensyarah kanan, SCIMPA, Dr. Adzira Husain berkata, dalam usaha membantu menangani kesan perubahan iklim pelajar Kelab Industri Kreatif (CIA), kakitangan SCIMPA dan ahli Kelab Eksplorasi Altitud menanam anak pokok yang terdiri daripada Pokok Durian, Pokok Doa dan Pokok Kelapa Mataq di Kem PLKN Sintok.

“Penanaman pokok adalah satu langkah bijak dan inisiatif jangka panjang dalam mempromosikan persekitaran yang lebih hijau dan mampan. Terima kasih kepada Kelab Eksplorasi Altitud yang menyumbang 20 anak pokok kepada SCIMPA,” ujarnya.

Jelasnya, objektif program ini sebagai satu usaha menjaga alam sekitar dengan melaksanakan aktiviti mesra alam secara lebih berkesan untuk mengawal perubahan iklim seterusnya mengurangkan pemanasan global.

Menurutnya, kempen penanaman 100 pokok di seluruh Negeri Kedah merupakan acara utama bersempena AEC’s Educational Adventure Tour. Pelaksanaan program ‘Sustainable Forestry’ membantu mencapai KPI bagi Teras 3 – Kelestarian Kerjasama Industri dan Komuniti.

Tambahnya, program kolaborasi bersama Kelab Eksplorasi Altitud Malaysia dan Pejabat Daerah Kota Setar itu turut mendedahkan pelajar kepada aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi.

Sementara itu, Noor Adilla Fadzwannie berkata, aktiviti seumpama ini memberi kesedaran dan pengetahuan tentang amalan mesra alam.

“Kami sangat bangga apabila diberi peluang sebegini kerana program ini dapat membuka mata pelajar tentang kepentingan pokok kepada kehidupan.

“Selain itu, perkongsian pengalaman pendaki dan paparan rakaman video dokumentari pendek Gunung Everest. Menariknya program ini adalah perkongsian tentang pengalaman mendaki Gunung Everest misalnya tragedi yang mengejutkan tentang pengalaman yang dikongsikan.

“Usaha ini memupuk semangat perjuangan untuk mencapai matlamat menawan puncak Gunung Everest sekali gus memberi motivasi kepada pelajar untuk mencapai impian dengan berusaha tanpa jemu,” ujarnya yang juga Presiden Persatuan Kreatif Inovatif (CIA).

Pameran peralatan pendakian Gunung Everest turut diadakan bagi memberi pendedahan sebenar dan mendapat sambutan menggalakkan daripada 150 pelajar.