SINTOK: Dua graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) bersyukur dapat menghadiri Majlis Konvokesyen ke-34 untuk menerima ijazah masing-masing pada 9 November ini.
Graduan Sarjana Muda Pentadbiran dengan Kepujian, Mohammad Shahmi Salleh 24, berkata walaupun konvokesyen sebelum ini terpaksa ditangguhkan akibat Covid-19 namun dia dan rakan-rakannya berkeyakinan dapat menghadiri konvo yang dianjurkan oleh universiti nanti.

“Kegembiraan untuk menghadiri konvokesyen ini bukan sahaja di kalangan kami malah yang penting untuk menghadiahkan majlis konvokesyen ini kepada ibu dan bapa,” kata anak ketiga daripada enam beradik yang berasal dari Tumpat, Kelantan.
Manakala rakannya, Muhammad Khairul Anaam Mohd Saleh 24, yang sedang bekerja di Petaling Jaya, Selangor ketika ditemui di Masjid Sultan Badlishah UUM berkata, majlis konvokesyen ini amat bermakna dan menjadi hadiah selepas berjaya menamatkan pengajian di kampus ini.

“Saya menaiki bas dari Selangor ke Sintok untuk mengambil jubah manakala Ibu dan bapa serta ahli keluarga yang berada di Kota Bharu, Kelantan akan menghadirinya pada 8 November 2022 nanti,” ujar anak bongsu dari lapan beradik ini.
Kedua-dua mereka ini menambah walaupun kepenatan menaiki bas dari Selangor ke Sintok namun keletihan itu tidak dirasai apabila dapat mengambil jubah konvokesyen pagi tadi.
Mereka berdua adalah antara 6,611 graduan yang akan menghadiri Majlis Konvokesyen ke-34 UUM yang akan berlangsung selama lima hari bermula 6 November 2022.
Konvokesyen kali ini melibatkan seramai 5,537 graduan sarjana muda dan 1,074 graduan pasca siswazah yang menamatkan pengajian pada 2021.
Daripada jumlah graduan pasca siswazah, seramai 227 merupakan graduan ijazah Doktor Falsafah (PhD), Doktor Pengurusan (2), Doktor Pentadbiran Perniagaan (30), Ijazah Sarjana (691) dan diploma pasca siswazah (124).
Majlis konvokesyen ini juga meraikan 393 graduan antarabangsa dari 28 negara dengan Indonesia mencatatkan jumlah teramai iaitu 117 graduan, diikuti China (82) dan Pakistan (43).
