Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today
SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima peruntukan sebanyak RM500,000 daripada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi program IQRA’ TH IPTA.
Sumbangan tersebut bertujuan untuk memberikan bantuan zakat secara langsung kepada pelajar dari kategori asnaf dan kumpulan B40 yang memerlukan.
Penyerahan cek cura itu disampaikan oleh Pengarah, Lembaga Tabung Haji Negeri Kedah, Mohd Hanifah Kamarudin kepada Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan pada Perhimpunan Bulanan Staf, Pelancaran Pelan Pendigitalan UUM dan Penutupan Kejohanan Sukan Staf UUM Ke-13 di Stadium Pusat Sukan, hari ini.

Dr. Mohd Foad mengucapkan terima kasih kepada TH kerana telah memilih UUM sebagai rakan strategik bagi Program IQRA’ TH IPTA.
“Insya Allah, UUM akan memastikan kumpulan sasaran bagi program ini akan mendapat bantuan dan manfaat yang sepatutnya seiring dengan objektif dan matlamat program berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hanifah sempat berkongsi kelebihan menyimpan di Tabung Haji ketika berucap dalam majlis tersebut. – Nor Erna Jaslia Mohamad Adam (Pelajar Pelatih dari SMMTC)