Gambar NSTP
ALOR SETAR: Baru-baru ini kecoh apabila ramai yang kehilangan duit berjumlah puluhan ribu ringgit dan menjadi mangsa penipuan, namun persoalannya bagaimana duit yang disimpan di dalam bank boleh hilang begitu sahaja, siapa punya kerja?
Inilah kerja penipuan dalam talian seperti Macau Scam dan Love Scam yang menggunakan pelbagai taktik licik bagi memperdaya mangsa sehingga ada yang kerugian mencecah puluhan ribu ringgit dalam sekelip mata.
Aishah Ahmad yang merupakan seorang pesara berkongsi pengalaman mendebarkan apabila nyaris menjadi mangsa penipuan scammer.
“Saya menerima panggilan yang mendakwa berhutang sebanyak RM28,000 dan sebelum jam 4 petang perlu diselesaikan, jika lewat akan dibawa ke mahkamah seterusnya mengarahkan saya menelefon nombor yang tertera dalam Facebook.
“Ketika itu rasa darah naik ke muka, jantung berdegup kencang, panik, dan terkejut bila didakwa berhutang sebanyak itu. Memang sangat licik kerana cara cakap membuatkan kita percaya lalu saya membuka Facebook memang ada nombor tersebut.
“Kerana terlalu takut saya terus menelefon anak, dengan selamba anak berkata, ‘mak kena scam’ dan barulah saya tersedar,” ujarnya.
Insiden itu membuatkannya lebih berhati-hati pada masa depan dan mengakui menerima banyak panggilan yang didakwa daripada penguatkuasa seperti mahkamah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Jangan takut atau cemas jika dihubungi dan dimaklumkan anda terlibat dengan jenayah yang melucukan, saya pernah mendapat saman di Kota Bharu sedangkan saya tidak pernah ke sana pun.
“Jadi kalau tidak kenal, tutup terus telefon, jangan layan panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali, abaikan mesej yang tidak berkenaan, kena berhati-hati kerana duit boleh hilang hanya dengan satu panggilan atau dengan satu klik pautan jika tiada ilmu,” ujarnya yang juga peserta Bengkel Literasi Digital, di Masjid Al-Hussain Kampung Seberang Pumpong, Alor Setar.
Jelasnya, rata-rata peserta bengkel tersebut menyatakan bahawa pengetahuan dan keyakinan mereka untuk menggunakan aplikasi di telefon bimbit dan media sosial bertambah selain mengalu-alukan program seterusnya pada masa hadapan.
“Sebelum ini ada di kalangan kawan-kawan yang takut untuk menggunakan telefon namun setelah menyertai bengkel ini mereka mendapat pengetahuan yang sewajarnya misalnya tahu bahawa pihak penguatkuasa tidak menjalankan siasatan melalui telefon terutamanya menggunakan nombor peribadi,” tambahnya.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Norsiah Abdul Hamid berkata, pengisian bengkel anjuran bersama Unit Penyelidikan Inovasi Multimedia dan Kemanusiaan Digital (MIDH) dan SMMTC itu memfokuskan kelebihan internet dan media sosial serta bentuk-bentuk ancaman kepada pengguna.

“Tujuan bengkel yang disertai 35 warga emas sekitar Alor Setar itu bagi memdedahkan aplikasi yang ada di media sosial dan telefon bimbit untuk diguna dalam kehidupan seharian agar mereka tidak ketinggalan dalam arus digital.
“Di samping itu, mereka juga terdedah kepada bahaya scammer, justeru bimbingan terhadap bahaya dan ancaman turut dikongsikan. Bersamalah kita mencegah jenayah penipuan siber ini dan sentiasa bijak dalam menghadapi sebarang ancaman penipuan siber,” katanya.
Penceramah, Dr. Mohd Nizam Saad yang juga merupakan ahli penyelidik MIDH berkata, ramai orang dewasa mampu memiliki alatan digital namun mereka kurang mahir menggunakan alatan ini untuk melaksanakan pelbagai tugas seperti mencari maklumat, menjalankan urusan perbankan dalam talian dan berkongsi maklumat di media sosial.
Menurutnya, literasi digital merujuk kepada keupayaan untuk memahami dan menggunakan maklumat dalam pelbagai format digital daripada pelbagai sumber apabila ia ditunjukkan melalui alatan digital seperti komputer, telefon pintar, tablet dan kiosk awam.
“Literasi digital di kalangan remaja umur di antara 16 – 24 tahun adalah sebanyak 96.5% manakala di kalangan dewasa umur di antara 55 – 74 tahun sebanyak 62.8%.

“Faktor halangan literasi digital antaranya adalah rasa takut berada dalam talian kerana terpengaruh dengan cerita penipuan dan kecurian identiti yang didengari selain kurang yakin akibat daripada berasa terlalu tua, ketakutan terhadap teknologi baharu, kekurangan akses kepada teknologi serta pengalaman ICT yang terhad.
“Sebenarnya takut ini kerana kurang pemahaman tentang fungsi perisian dan cara untuk meminimumkan tahap ancaman jadi tingkatkan ilmu dengan menyertai bengkel untuk menambahkan kemahiran digital serta dapatkan pandangan tentang teknologi daripada orang sekeliling seperti rakan, keluarga dan saudara,” kongsinya.

Jika anda mendapat panggilan yang mencurigakan bagi mengelak daripada terpedaya dengan penipuan itu laksanakan beberapa langkah yang telah dicadangkan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia antaranya, beritahu kenalan tentang panggilan telefon yang diterima. Jangan percaya pada ugutan Akta Rahsia Rasmi yang sering digunakan scammer, jangan dedah atau kongsi sebarang maklumat perbankan atau kewangan anda kepada mana-mana individu yang mencurigakan.