Gambar Google
RIYADH: Beberapa kawasan tanah tinggi di Arab Saudi bertukar hijau susulan hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat di negara ini, bulan lalu.
Portal Middle east Monitor (Memo) yang memetik laporan Saudi Press Agency (SPA) turut menyertakan foto dan klip video yang menunjukkan kesan daripada cuaca berkenaan.
Menurut Memo, pemandangan di beberapa kawasan di Arab Saudi bertukar hijau terutama di barat negara itu.
Beberapa gambar juga menunjukkan tumbuhan hijau disebabkan cuaca panas dan hujan, juga dapat dilihat menerusi imej satelit diperoleh daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat.
Portal New Arab pula melaporkan pemandangan di beberapa kawasan tanah tinggi di sekitar Mekah turut bertukar kepada hijau.
Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, ada tanah tinggi berhampiran Tanah Suci itu dilihat diliputi tumbuhan hijau, jauh dari pemandangan biasa iaitu tanah tandus.
Landskap yang jarang dilihat itu telah menarik perhatian akaun Twitter rasmi wilayah Mekah @makkahregion yang turut memuat naik video kawasan tanah tinggi yang dilipuiti tumbuhan hijau itu.
Video tersebut mendapat ribuan tontonan di media sosial. Susulan hantaran video dan gambar yang menunjukkan landskap itu, pengguna media sosial di Arab Saudi turut mendakwa peamdangan sama boleh dilihat di Laith, Taif dan Jeddah.
Keadaan itu juga menarik penduduk untuk meluangkan masa berkhemah di taman dan kem di wilayah berkenaan, lapor SPA.
Bagaimanapun, ada juga berpendapat bahawa ia bukan perkara baru kerana situasi sama pernah berlaku sebelum ini.
Bulan lalu, beberapa kawasan di barat dan tengah Arab Saudi dilanda hujan lebat menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan .