UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Tanpa sumbangan alumni PJJ, alma mater tidak ke mana

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today

ALOR SETAR: Merealisasikan hasrat negara dalam agenda kelestarian pembelajaran sepanjang hayat, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Profesional dan Lanjutan (PACE) telah melahirkan ramai siswazah berkualiti dalam konteks pendidikan jarak jauh khususnya.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pembelajaran sepanjang hayat dapat membangunkan masyarakat dengan ilmu dan latihan serta membantu negara melahirkan tenaga kerja yang profesional dan berkelayakan.

Kini, menurutnya, sudah sampai masanya alumni Program PJJ UUM yang dilahirkan oleh PACE memberi sumbangan kembali kepada alma mater.

Kata beliau, tanpa peranan dan sumbangan alumni, maka alma mater tidak akan ke mana.

“Justeru, saya menyeru bakal alumni PJJ UUM ini dapat meluangkan masa, tenaga dan buah fikiran untuk memberi sumbangan kepada universiti dalam apa jua bentuk dengan kemampuan yang ada.

“UUM juga proaktif dalam usaha memasyarakatkan universiti dengan menabur bakti dan berbudi kepada komuniti melalui pensyarah-pensyarah yang memiliki kepakaran yang pelbagai dan mahasiswa yang bijak, produktif dan diterapkan dengan nilai-nilai kesukarelawan serta semangat untuk berbudi kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Makan Malam Graduan PJJ UUM Ke-36 Bagi Tahun 2023 di Hotel Raia, malam tadi.

Beliau turut mengingatkan dalam kita bergembira, janganlah dilupakan saudara Islam yang berjuang di Palestin dan menyeru kepada semua agar bersama-sama bersolidariti untuk penduduk di Palestin dan sentiasa berdoa agar mereka sentiasa dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kemenangan.

Sementara itu, wakil graduan PJJ Kelas Pertama, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin berterima kasih kepada pengurusan UUM dan PACE yang mengadakan majlis ini bagi meraikan semua graduan PJJ dari pelbagai program pengajian.

Menurutnya, mereka bersyukur diterima masuk ke UUM dan berjaya menamatkan pengajian di universiti terulung di Malaysia ini di mana UUM berada di kedudukan elit dan terbaik dalam kalangan universiti awam dan swasta.

“Kami sebagai graduan universiti ini sesungguhnya berasa bangga dan beruntung menjadi sebahagian produk UUM.

“Terima kasih kepada UUM yang membuka peluang kepad kami yang berkerjaya ini untuk melanjutkan pelajaran di universiti ini dengan sistem pembelajaran berkualiti yang fleksibel membolehkan kami belajar tanpa meninggalkan pekerjaan serta keluarga. Sesungguhnya UUM telah meralisasikan cita-cita kami untuk mendapat segulung ijazah,” katanya yang akan menerima ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di sesi terakhir, petang ini.

Tambah Raja Mukriz lagi, dari perspektif seorang penggiat industri kreatif di Malaysia, sebagai graduan PJJ pertama dalam bidang pengurusan industri kreatif amat bangga dan kagum dengan inisiatif UUM yang peduli akan pembangunan sektor budaya, warisan dan kreatif negara dengan melahirkan graduan mempunyai kemahiran yang khsuus dari aspek pengurusan.

Graduan hari ini telah melalui sesi pembelajaran secara bersemuka dan maya ekoran penularan pandemik Covid-19 yang lalu dan ia merupakan cabaran yaang sukar bukan sahaja kepada UUM tetapi seluruh institusi pengajian tinggi lain, namun usaha UUM yang cakna membolehkan graduan berjaya tamat pengajian dan hadir ke Majlis Konvokesyen UUM ke-36.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Uniutama Management Holdings Sdn Bhd, Azman Hisham Che Doi dan Timbalan Pengarah PACE, Prof. Madya Dr. Aziz Othman.

Untuk rekod, PACE UUM telah berjaya melahirkan lebih 9,000 graduan melalui program PJJ dan jumlah pelajar aktif melebihi 3,000 orang yang majoritinya dalam kalangan individu yang telah bekerja.