UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

TecherGolf kutip dana hampir RM50,000 untuk pembangunan warga TISSA-UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

BAYAN LEPAS: Kejohanan golf amal TISSA UUM Edu-Charity Golf (TecherGolf) 2023 anjuran Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) berjaya mengumpul dana RM50,000 yang akan digunakan bagi tujuan pembangunan warga TISSA.

Kejohanan yang disertai 64 pemain itu bermatlamat mengutip dana bagi tujuan kebajikan, pembangunan serta penyelidikan pelajar dan staf TISSA-UUM.

Dekna TISSA, Prof. Ram Al Jaffri Saad berkata, dana yang berjaya dikutip itu adalah hasil daripada sumbangan syarikat, individu dan yuran penyertaan pemain.

Menurutnya, sambutan dan kejayaan penganjuran golf amal julung kali ini menjadi perintis bagi TISSA-UUM untuk menganjurkan kejohanan yang sama pada masa akan datang.

“Sehubungan itu, saya berterima kasih kepada semua peserta khususnya penaja-penaja seperti Epic Valley Sdn. Bhd., Yayasan Muhibbah Tan Sri Fng Ah Sng, SALIHIN Group, MICPA, PS Yap & Associates, UMHSB, UECSB, Business Strategic Department (BSD), ICAN Malaysia, Ellojoy Coffee, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, alumni TISSA-UUM dan mereka yang terlibat menjayakan kejohanan golf amal ini,” ujarnya.

Turut serta dalam kejohanan itu ialah Pengerusi LPU, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar; Pengarah Urusan Epic Valley Sdn. Bhd, Tan Sri Prof. Dr. Fng Ah Seng; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed serta Naib Presiden Persatuan Alumni UUM, Zambri Mat.

Kejohanan golf itu diungguli Wan Muhammad Amirul Afiq Wan Rosni, pelajar dari Akademi Golf Nasional (AGN) UUM yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, manakala tempat kedua dimenangi Muhammad Muadz Mohd juga dari AGN yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM700, diikuti tempat ketiga iaitu Lau Siew Jun yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM500.

Pemenang tempat keempat hingga ke-10 membawa pulang hadiah berbentuk barangan, selain turut disediakan 40 hadiah cabutan bertuah.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan hadir menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.