UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

TECHERun tutup tirai 2022

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK: TISSA Edu-Charity Run (TECHERun) menutup tirai 2022 dengan penyertaan seramai 500 peserta terdiri daripada pelajar, staf dan masyarakat setempat dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat di negara ini.

TECHERun merupakan sub-program bagi program utama iaitu Digitalisasi Pengurusan Kewangan dalam Pengurusan Acara anjuran Institut Penyelidikan dan Pembangunan Sistem Maklumat Perakaunan (AISRED), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM).

Perasmian telah disempurnakan oleh Profesor Adjung UUM, Prof. Tan Sri Dr. Fng Ah Seng yang juga Pengarah Urusan Epic Valley Holdings dan Pengerusi Yayasan Muhibah iaitu penaja utama program tersebut.

Fng Ah Seng berharap TECHERun akan diteruskan lagi penganjurannya dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat. Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

Dalam ucapannya berkata, beliau gembira melihat sekumpulan besar anak-anak muda terdiri daripada pelajar universiti serta golongan veteran mengambil bahagian dalam TECHERun itu.

“Saya berharap program TECHERun akan diteruskan lagi pada masa hadapan dengan menarik lebih banyak peserta,” katanya di Pusat Sukan UUM, baru-baru ini.

Bagi menjayakan TECHERun, beliau telah menyumbang sebanyak RM36,000 di mana RM6,000 bagi tujuan hadiah wang tunai kepada pemenang larian kategori 10 kilometer (km)  dan RM30,000 bagi program amal itu. Di samping itu, beliau juga telah menyumbang sebanyak RM1,000 kepada Kelab Gendang UUM.

Larian TECHERun 2022 terbuka kepada dua kategori larian iaitu larian terbuka lelaki dan wanita (10 km) dan juga ‘fun run’ (5 km).

Pemenang pertama bagi kategori terbuka lelaki dan wanita 10 km merupakan pasangan adik-beradik dari Pulau Pinang iaitu Joshua Loh Yixun dan Janice Loh Yinjin masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.

Fng Ah Seng (tengah) bersama pemenang program TECHERun 2022 yang diadakan di Stadium UUM, baru-baru ini. Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

Pemenang kedua pula membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang yang dimenangi oleh Nazmi Syabil Ahmad bagi kategori lelaki dan Tkharanie a/p Kalairanan bagi kategori wanita. Tempat ketiga yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 dimenangi oleh Ng Wei Lim bagi kategori lelaki dan Teoh Yi Yan bagi kategori wanita.

Selain itu, 37 hadiah cabutan bertuah turut disediakan oleh penganjur dengan hadiah utama merupakan sebuah basikal.

Sebagai rekod, penganjuran TECHERun 2022 ini merupakan program amal yang melibatkan warga UUM dan orang awam untuk pembangunan pelajar TISSA yang diadakan buat kali kedua selepas kejayaan penganjurannya pada 2017.