UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Teks ucapan lambang identiti dan jati diri 

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Ucapan yang disampaikan oleh seorang menteri bukan sahaja penting sebagai dokumen terujuk yang menjadi dasar dan polisi kementerian tetapi dapat menggambarkan identiti penuturnya.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Hishamudin Isam berkata, proses penghasilan sesebuah teks ucapan tidak dihasilkan secara sewenang-wenangnya sebaliknya penuh motivasi.

“Sesebuah teks ucapan seharusnya datang daripada pemikiran pengucapnya yang melambangkan identiti dan jati diri.

“Sebagai pemimpin, amatlah penting mempunyai pasukan penulis teks ucapan terbaik yang dapat menyampaikan buah fikiran pengucap,” ujarnya yang memenangi Anugerah Buku Negara 2022 bagi kategori Buku Umum Terbaik (Bahasa & Kepimpinan) sempena Persidangan Buku Antarabangsa, Ekspo Buku Malaysia yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor, baru-baru ini.

Prof. Madya Dr. Hishamudin (kanan) dan Dr. Mashetoh memenangi Anugerah Buku Negara 2022 bagi kategori Buku Umum Terbaik (Bahasa & Kepimpinan) sempena Persidangan Buku Antarabangsa, Ekspo Buku Malaysia, baru-baru ini.

Jelasnya, penghasilan buku “Bahasa dan Identiti Kepemimpinan Khaled Nordin dalam Pendidikan Tinggi Negara” terbitan Pusat Penerbit UPM ini merupakan usaha berkongsi maklumat serta membincangkan bahasa dan identiti kepemimpinan Datuk Seri Khalid Nordin dalam meneraju Pendidikan Tinggi Negara semasa menjadi menteri.

“Ramuan utama bahan dan tatacara penelitian yang dikongsikan kepada pembaca, khususnya para pemimpin ialah paparan kaedah penyelidikan yang mementingkan data autentik iaitu teks ucapan berdasarkan idea tokoh itu sendiri dan penjelasan analisis yang konsisten. 

“Secara tidak langsung, buku ini juga dapat menjadi panduan kepada penulis teks ucapan, dalam menggarap idea bernas yang dapat menonjolkan identiti seseorang pengucap.

“Menariknya buku ini mempunyai keunikan tersendiri kerana menganalisis teks ucapan seorang pemimpin negara yang menerajui sektor kritikal negara, iaitu pengajian tinggi,” kongsinya yang juga Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa di pusat pengajian berkenaan.

Buku ini berkongsi maklumat serta membincangkan bahasa dan identiti kepemimpinan beliau dalam meneraju Pendidikan Tinggi Negara semasa menjadi menteri.

Manakala Dr. Mashetoh Abd Mutalib sebagai penulis bersama berkata, banyak info menarik yang dapat dipelajari ketika mengupas perbincangan berkaitan bahasa dan cara seseorang tokoh boleh diserlahkan identiti kepemimpinannya berasaskan gaya bahasa.

“Mohamed Khaled meletakkan satu aras yang tinggi sebagai seorang menteri yang berupaya menterjemahkan idea dan pemikiran melalui ucapan yang dilakar dengan penuh gaya cermat dan ketelitian selain dibukukan dengan bersistematik,” ujarnya.

Penghasilan buku ini tercetus selepas kumpulan penyelidik, yang terdiri daripada mereka berdua bersama Prof. Madya Dr. Mohd Izani dan Dr. Rohaidah Harun, masing-masing dari UPM dan Universiti Malaya, selesai menyempurnakan geran penyelidikan tajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertajuk “Bahasa dan Identiti Kepimpinan Analisis Wacana dan Kognitif Mohamed Khalid Nordin Dalam Menakhoda Pengajian Tinggi Negara” pada tahun 2014.  

Barisan penulis bersama buku “Bahasa dan Identiti Kepemimpinan Khaled Nordin dalam Pendidikan Tinggi Negara”    

“Walaupun syarat wajib yang dikenakan hanyalah sekurang-kurangnya satu artikel berindeks, tetapi kumpulan penyelidik merasakan perlu untuk berkongsi dapatan daripada penyelidikan ini kepada masyarakat di luar. 

“Selain artikel jurnal dan artikel prosiding, penerbitan buku adalah langkah bijak dalam menjayakan impian ini,” tambahnya.  

Pasukannya amat bersyukur di atas kejayaan yang tidak disangka-sangka di samping   berharap  kejayaan ini  memberi inspirasi kepada penyelidik dan penulis di luar sana untuk terus menghasilkan karya bermutu.

Karya ini menerangkan bagaimana proses ucapan disediakan sehinggalah dapat disampaikan kepada khalayak dan wajar diteladani oleh pemimpin agar soal penyediaan ucapan tidak dipandang mudah kerana mesej yang disampaikan akan dipegang dan dinilai oleh pendengar.

Buku ini turut memberi manfaat kepada mahasiswa bidang sains sosial seperti bidang bahasa dan linguistik, komunikasi dan sains politik pelbagai peringkat pengajian  untuk memahami konsep identiti kepemimpinan daripada seorang tokoh penting dalam bidang tertentu yang diselusuri berdasarkan prinsip penggunaan gaya bahasa iaitu teks ucapan yang digunakan.