Gambar JBPM Selangor
SHAH ALAM: Gedung perniagaan tekstil Jakel cawangan Shah Alam di Seksyen 7, dekat sini terbakar lagi dalam kejadian awal pagi tadi.
Kebakaran di bangunan Wisma Jakel itu melibatkan satu bilik simpanan kain langsir berkeluasan 30×40 kaki persegi di tingkat tiga.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 12.40 tengah malam tadi.

Seramai 43 pegawai dan anggota dari enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
Api berjaya dikawal daripada merebak pada jam 1.45 pagi sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.07 pagi.
Kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa.

Menurut Norazam, kerja-kerja ‘overhaul’ turut dilakukan pihaknya untuk memastikan api padam sepenuhnya.
Pada Ahad, premis sama dilaporkan terbakar 80 peratus dipercayai akibat litar pintas yang memusnahkan bahagian dalam bangunan.
Semalam, susulan pelbagai spekulasi yang timbul, polis menasihatkan orang ramai agar menghormati pihak yang mengalami kerugian serta yang hilang sumber pendapatan dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati.