Gambar Khairul Asyraf Abu Bakar/UUM Today
SINTOK: Tidak mensia-siakan ilmu diperoleh sepanjang menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM), Khairul Asyraf Abu Bakar, 26, kini boleh merasa bangga atas pencapaiannya bekerja sebagai pereka grafik di Codebase Technologies, syarikat antarabangsa dari Dubai.
Graduan Sarjana Muda Sains (Multimedia) itu kini bekerja secara ‘remotely’ di syarikat penyedia teknologi kewangan (Fintech) terkemuka itu di Kuala Lumpur selepas menamatkan latihan industri di syarikat berkenaan pada Ogos tahun lalu dan terus diserap ke jawatan tetap sekarang.
Khairul Asyraf berkata, tugasnya di syarikat tersebut adalah untuk menyediakan reka bentuk grafik dan juga ‘motion graphic’.
“Saya bersyukur kerana segala kursus pembelajaran sepanjang di UUM sangat berguna dan sememangnya diaplikasikan ke dalam pekerjaan sekarang.

“Cuma dalam dunia kreatif ini juga memerlukan sedikit usaha untuk kita terokai sendiri sebagai tambah nilai kepada diri,” ujar anak kelahiran Kelantan itu.
Lebih menguntungkan juga, anak kepada pasangan suami isteri, Abu Bakar Omar dan Norhayati Sabudin ditawarkan gaji lumayan dalam mata wang Dolar Amerika Syarikat (USD), meskipun belum bergraduasi lagi ketika itu.
Ketika berada di universiti pula, Khairul Asyraf bergiat aktif dengan menjadi sekretariat Pesta Konvokesyen (PESKON) Ke-31, Ke-32 dan Ke-33.
“Penglibatan ini banyak mengajar saya dari sudut pengurusan dan komunikasi. Aspek itu juga penting dalam alam pekerjaan, sebab realitinya kita bekerja bersama orang lain.
“Seperti saya sebagai pereka grafik juga perlu berurusan dengan pasukan pemasaran, ahli lembaga untuk mendapatkan sebarang maklum balas berkaitan pekerjaan,” ujarnya yang turut gembira sekiranya berpeluang untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya bersama pelajar UUM.
Khairul Asyraf meninggalkan pesanan kepada pelajar UUM yang bakal melangkah ke alam pekerjaan agar tidak takut untuk mencuba dan keluar dari zon selesa.
Menurutnya, sewaktu usia masih muda ini manfaatkan sebaiknya untuk kenali potensi diri.
Beliau menerima ijazah pada sesi kelapan Majlis Konvokesyen Ke-35 UUM yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan.