Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today
SINTOK: Siapa sangka ‘Boss’ sendiri yang akan menyampaikan segulung ijazah pada majlis bersejarah bagi seorang graduan universiti.
Inilah momen terindah bagi Muhamad Tamizi Mustafa yang diraikan pada sesi kesembilan apabila berjaya menamatkan pengajiannya dalam Sarjana Muda Pengurusan Awam di Majlis Konvokesyen Ke-34 UUM, semalam.
Walaupun sibuk dengan kerja hakiki sebagai pemandu bas ekspres semasa melanjutkan pengajian, Muhamad Tamizi, 32, telah membuktikan dia mampu menamatkan pengajiannya.

Lebih bermakna, dia menerima ijazah tersebut daripada majikannya kini, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.
Muhamad Tamizi yang merupakan pemandu kepada Naib Canselor sejak pertengahan Julai lalu mula menyambung pengajian pada April 2016 atas dorongan untuk mengembangkan kerjaya dan juga membanggakan keluarga.
“Bukan mudah pada mulanya kerana ketika itu saya menjadi pemandu bas ekspres bagi perjalanan Kuantan-Kuala Perlis sebelum bekerja di UUM pada tahun ini. Saya kena bijak membahagikan masa agar hasrat untuk menggenggam segulung ijazah ini tercapai.
“Saya mencuri masa untuk menyiapkan tugasan diberikan pensyarah pada waktu malam bersama-sama rakan seperjuangan. Inilah pengorbanan dan cabaran yang perlu saya hadapi,” kata anak kepada pasangan Mustafa Che Hassan dan Sarimah Bakar.
Tambahnya, dia bersyukur mendapat pensyarah dan majikan yang memahaminya ketika itu kerana membenarkan dia mengambil cuti setiap kali perlu menghadiri kelas yang diadakan sebulan sekali.
Muhamad Tamizi berjaya menamatkan pengajian dengan purata nilai gred (GPA) 3.36, namun tidak sempat diraikan pada majlis konvokesyen universiti pada 2020 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sekali gus melarang sebarang penganjuran majlis secara bersemuka ketika itu.

Sempena hari bersejarah ini juga, Muhamad Tamizi merakamkan penghargaan kepada kedua ibu bapa, pensyarah, guru dan rakan seperjuangannya yang banyak memberikan sokongan sepanjang bergelar pelajar separuh masa di universiti ini.
Malah, dia turut menitipkan pesanan kepada rakan sekerja agar tidak meletakkan batu penghalang untuk berjaya walaupun hanya bergelar seorang pemandu, begitu juga rakan-rakan lain agar terus menyemat semangat untuk memajukan diri.
Kejayaan manis Muhamad Tamizi itu turut diraikan Naib Canselor selepas berakhirnya majlis konvokesyen yang menutup tirai petang semalam.