UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Terima ijazah sarjana selepas pengebumian bapa

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Ihsan Muhammad Firdaus Othman/UUM Today

SINTOK: Kurang 24 jam sebelum menaiki pentas bagi menerima ijazah, Muhammad Firdaus Othman, 37, menempuh detik sukar apabila kehilangan bapa tercinta.

Othman Karim, 70, bapa kepada graduan Sarjana Pengajian Perniagaan Islam itu meninggal dunia akibat strok di Hospital Kangar, Perlis pada jam 1 pagi Isnin dan telah selamat dikebumikan di Simpang Empat, Perlis pada jam 2 petang, hari sama.

Muhammad Firdaus (belakang, kiri) bergambar bersama arwah bapanya, Othman (tengah) yang diserang penyakit strok sejak dua tahun lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir awal pagi semalam,

Muhammad Firdaus berkata, meskipun baru kehilangan bapanya beberapa jam sebelum hari bersejarah itu, beliau tetap hadir menerima skrol sebagai bukti kejayaan menamatkan pengajian peringkat sarjana dan ingin meneruskan semangat menyambung cita-cita arwah bapa untuk menjadi seorang pendidik profesional.

Menurutnya, arwah bapanya sangat gembira apabila mengetahui beliau menyambung pelajaran di UUM, malah sanggup membayar yuran pengajiannya pada semester pertama.

“Sesungguhnya, saya amat bersyukur memiliki ibu bapa yang sangat mementingkan ilmu dan adab, tambahan pula arwah bapa merupakan bekas pensyarah, manakala ibu saya, Bderiah Wahab berusia 70 tahun adalah pesara guru sekolah rendah.

“Saya melihat kedua ibu bapa saya berjaya mendidik anak-anaknya sehingga berjaya ke menara gading dan ada antaranya turut memiliki ijazah sarjana dalam pelbagai disiplin,” kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Muhammad Firdaus (kanan) bersama penyelianya di peringkat PhD, Prof. Madya Dr. Azizi Abu Bakar.

Muhammad Firdaus yang menjawat jawatan sebagai Penolong Pengurus di sebuah bank di Petaling Jaya kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di UUM.

Dunia bukan tempat tinggal kita,
Akhirat lah rumah sebenar kita
Berjumpalah kita di alam abadi

Anakmu,
Firdaus

Bapa kepada tiga cahaya mata itu menerima ijazah sarjana yang disampaikan oleh Pro-Canselor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah pada sesi ketiga di Dewan Mu’adzam Shah, petang semalam.