UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Terokai keunikan, budaya Indonesia

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

INDONESIA: ‘International Mobility’ anjuran Biro Integrasi, Komuniti dan Antarabangsa, INASIS Bank Rakyat, Universiti Utara Malaysia (UUM) membawa pelajar menerokai keunikan dan budaya di Indonesia.

Bertemakan ‘Strategic Exploration UUM at Yogyakarta, Navigate the Collaborative Engagement and Experience Exchange’, program ini membawa pelajar UUM berkolaborasi bersama pelajar Universitas Islam Indonesia (UII) dan Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY).

Pengarah Program, Muhammad Danish Itqan Azli berkata, program enam hari ini sarat dengan pengisian bermanfaat merangkumi aspek perkongsian pengalaman yang berkaitan dengan program pembangunan pelajar, kemasyarakatan, kesukarelawanan, silang budaya, jaringan sosial ekonomi, perkongsian bersama Alumni UUM dan edutourism di Daerah Istimewa Yogyakarta.

“Saya gembira melihat para peserta dapat mengenali budaya, cara hidup, makanan dan suasana di negara jiran.

“Indonesia dan Malaysia terdiri daripada satu rumpun yang sama jadi kami ingin belajar dan berkongsi dengan pelajar di sini dalam usaha mengembangkan universiti di kalangan asia melalui pendidikan yang baik,” ujarnya.

“Pada saya, program ini merupakan usaha ke arah kerjasama strategik antara UUM   dan universiti di sini yang membolehkan peserta mendapat ilmu, pengalaman dan   membina jaringan di samping mempromosikan UUM menjadi institusi pilihan untuk melanjutkan pengajian,” ujarnya. 

Peserta menghadiri seminar berkonsepkan forum bual bicara ini menyaksikan perkongsian dua hala dari dua negara dengan menampilkan panelis yang pakar dalam bidang masing-masing khususnya hubungan dua hala Malaysia-Indonesia dianjurkan oleh ‘International Relation Department’, UII.   

Sejurus selepas itu, Communication Department, UII mengambil alih program dengan mengadakan Sesi   secara santai, Sharing Session yang menfokuskan ‘Creative and Adaptive Youth Facing Global Challenge in Higher Education’ di mana wakil pelajar dari kedua-dua universiti berkongsi gaya hidup di kampus masing-masing.  

Sementara itu, Abdul Hakeem Adzraa’i menyifatkan program mobiliti antarabangsa ini sangat membantu dalam membina pembangunan diri pelajar sekali gus membina rangkaian dengan rakan negara yang berbeza.

“Saya dapat lihat keterujaan terpancar pada wajah setiap peserta apabila kami disambut mesra oleh wakil dari UII sambil diiringi alunan muzik angklung dan gamelan yang dimainkan di lapangan terbang seolah-olah membawa para peserta ke suatu dimensi dunia asing yang penuh rahsia dalam budaya yang bakal diteroka.

“Saya dan rakan-rakan dapat mengetahui lebih mendalam lagi tentang struktur dan pembangunan dan badan pelajar di institusi pengajian Indonesia.

“Oleh itu, pengalaman yang diperolehi dapat membuka minda saya dan rakan-rakan dalam menambah baik struktur pendidikan dan kepimpinan di Malaysia,” ujarnya.

Abdul Hakeem berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia semakin baik demi menjaga keharmonian dan memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain.