UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Tiada peruntukan khas, UUM mampu melonjak di pentas dunia

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today

SINTOK: Meskipun sebagai universiti pengurusan tidak menerima peruntukan istimewa seperti universiti penyelidikan (RU) lain, namun Universiti Utara Malaysia (UUM) masih mampu gah di pentas dunia.

Hal ini terbukti dengan kejayaan UUM disenaraikan sebagai salah satu daripada enam universiti terbaik di Malaysia serta beberapa penarafan antarabangsa seperti QS Ranking dan Times Higher Education (THE).

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, UUM telah mencapai pencapaian yang membanggakan dan kejayaan ini adalah bukti yang jelas bahawa keupayaan dan prestasi cemerlang tidak hanya bergantung kepada aspek kewangan semata-mata, tetapi juga kepada tekad, inovasi dan usaha bersama seluruh warga universiti.

Justeru, bagi mengekalkan prestasi tersebut, menurut beliau, UUM meneruskan agenda Pelan Strategik yang bakal beralih ke Fasa 4 pada 2026.

“Kini, UUM berada dalam Fasa 3 tahun ketiga di mana fasa ini adalah peringkat yang kritikal dan kita perlu memperkukuhkan pengaruh, keterlihatan dan kedudukan UUM dalam arena pendidikan dan penyelidikan global.

“Kita perlu mencari perspektif serta dimensi baru untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan dan penyelidikan di UUM, justeru bagi memastikan universiti berada di landasan yang betul mengikut sasaran strategik, kita telah melaksanakan analisis penanda arasan dengan menggunakan perbandingan prestasi universiti di peringkat ASEAN dan Asia,” katanya di Majlis Perasmian Bengkel Pengukuhan Agenda Pelan Strategik Fasa 3 di EDC UUM, pagi ini.

Tambah beliau, hasil analisis penanda arasan tersebut, UUM telah merangka hala tuju yang jelas dari 2024 hingga 2030, seterusnya berusaha dalam tempoh 2024 hingga 2026 untuk menjadikan UUM sebagai salah satu daripada 10 universiti terbaik di ASEAN, manakala pada 2027 hingga 2030, sasaran UUM berada dalam kelompok 50 universiti terbaik di Asia.

Dr. Mohd Foad berharap seluruh warga universiti dapat bersama-sama meneroka sudut baru untuk memperkasa dan memajukan universiti.

Bengkel Pengukuhan Pelan Strategik Fasa 3 anjuran Bahagian Perancangan Korporat (BPK) itu diadakan selama dua hari bermula hari ini yang melibatkan penjawat universiti di peringkat pusat tanggungjawab dan pusat pengajian.

Bengkel ini menjadi platform penting untuk membincangkan hala tuju dan matlamat universiti dalam mencapai kecemerlangan akademik dan penyelidikan bertaraf global.

Hari pertama bengkel dimulakan dengan pembentangan pencapaian Pelan Strategik Sukuan Ketiga Peringkat Universiti oleh Pengarah BPK, Prof. Madya Dr. Mazni Omar, diikuti sesi ‘post-mortem’ pencapaian UUM, taklimat bengkel dan sesi perbincangan mengikut kumpulan.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Bendahari, Abdul Roni Baharom dan Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah.