UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Tiga teras jadi panduan SoG, UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Salina Abdullah

Gambar Fadrul Kamal Bashah/UUM Today

SINTOK, 1 Februari – Tiga teras menjadi fokus SoG iaitu Integriti, Operasi dan Ilmu telah menjadi garis panduan warga Pusat Pengajian Kerajaan (SoG).

Dekan SoG, Prof. Madya Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid berkata, teras-teras ini perlu disematkan dan dijadikan panduan untuk fokus terhadap proses kerja serta menjadi inisiatif dalam menetapkan sasaran kerja utama bagi tahun 2024.

Beliau juga menekankan konsep kebersamaan dalam menjalankan tugas dan melaksanakan sebarang aktiviti serta membentangkan hala tuju pusat pengajian semasa menyampaikan amanat dalam Majlis Amanat Dekan dan Serah Tugas Penjawat di Bilik Roupellia, EDC UUM, baru-baru ini yang dihadiri oleh 50 staf akademik dan pentadbiran.

Menurutnya, hala tuju ini adalah sebagai usaha untuk menyatupadukan warga kerja SoG bagi mewujudkan suasana kerja yang dan seterusnya membawa SoG menjadi sebuah pusat kecemerlangan akademik bertaraf dunia.

“Nilai kebersamaan adalah salah satu nilai yang sangat penting dalam apa jua aspek. Baik kebersamaan dalam keluarga, masyarakat, agama dan pekerjaan, nilai ini perlu sentiasa dipelihara agar kejayaan dapat dikecapi bersama.

“Hal ini dapat ditingkatkan seandainya kebersamaan berjaya diterapkan dalam sesebuah pasukan, hubungan persaudaraan akan terjalin kukuh, seterusnya tugasan atau cabaran mendatang lebih tenang dihadapi bersama. Kita akan lebih selesa untuk bekerja bersama semua ahli pasukan sekiranya berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah,” katanya.

Beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada barisan penjawat terdahulu atas jasa bakti sebagai pemangkin kecemerlangan organisasi sehingga berada pada tahap sekarang.

Majlis diakhiri dengan penyampaian nota serah tugas Penjawat SoG 2023 kepada barisan Penjawat 2024.