UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Tingkatkan amalan kebaikan di bulan mulia

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok, 20 Mac: “Ramadan bukan sekadar satu bulan di mana kita menahan lapar dan dahaga semata-mata. Ia adalah waktu yang penuh dengan peluang untuk meningkatkan amalan kebaikan, meningkatkan kesedaran diri, dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Justeru, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan mengajak warga kampus memanfaatkan setiap detik Ramadan dengan penuh kesyukuran dan keinsafan dalam mendekatkan diri pada Ilahi.

“Saya juga menyeru agar kita semua merebut pahala dan kelebihan yang pelbagai dalam bulan yang barakah ini. Semoga kita semua memperoleh Ramadan yang terbaik dan tergolong dalam kalangan penghuni syurga Ar-Rayyan kelak.

Selain ibadah puasa dan solat terawih, zakat fitrah adalah salah satu ibadah yang penting apabila tiba bulan Ramadan al-mubarak.

“Ibadah zakat fitrah dapat membantu masyarakat atau komuniti setempat yang memerlukan dan sebagai umat Islam kita diwajibkan membayar zakat fitrah.  

“Inilah hikmah disyariatkan ibadah ini, dalam usaha merawat ekonomi umat dan negara secara tidak langsung merupakan medium penyucian harta bagi meluaskan lagi barakah yang diperoleh dari pendapatan seharian kita,” jelasnya.

Menurutnya, pelancaran kutipan zakat fitrah pada hari ini juga merupakan salah satu inisiatif yang digerakkan oleh Pusat Islam UUM bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bagi mempermudahkan warga UUM menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Katanya, beberapa amil bertauliah yang telah dilantik akan berada di beberapa lokaliti dalam kawasan kampus sekali gus inisiatif ini akan memperkasakan masyarakat setempat secara holistik.

Tambahnya, jumlah kutipan zakat fitrah bagi tahun2023, UUM telah berjaya mengutip RM25,402.

“Kemajuan adalah sesuatu yang penting, tetapi kesihatan adalah asas utama dalam mencapainya jadi saya berharap agar kita semua dapat menjaga kesihatan mental dan fizikal.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan,” ucapnya pada Program Perhimpunan Bulanan Staf dan Majlis Pelancaran Zakat Fitrah 1445H/2024 Universiti Utara Malaysia berlansung di Masjid Sultan Badlishah, UUM, semalam.

Selain itu, beliau mengajak semua untuk meneliti semangat penyelidikan dalam setiap aspek kehidupan.

“Perspektif penyelidikan wajar diluaskan dan bukan hanya berkaitan dengan bidang akademik, tetapi juga dapat diterapkan dalam kehidupan seharian.

“Dengan menghayati semangat penyelidikan, kita mampu mengubah landskap kehidupan manusia menjadi lebih baik, lebih bermakna, dan lebih berintegriti justeru penekanan terhadap kepentingan penyelidikan dalam membangunkan komuniti dan negara wajar diberi perhatian oleh segenap lapisan warga UUM.  

“Saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada   Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dengan kerjasama Pusat Islam   serta semua warga UUM yang hadir bagi menjayakan majlis,” ujarnya  ketika melancarkan Kutipan Zakat Fitrah 1445H peringkat UUM.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan dan surat lantikan kepada Center of Excellence (COE) yang telah menunjukkan potensi yang baik dalam penyelidikan, penerbitan, perundingan dan harapan bagi tahun 2023 serta penyerahan surat lantikan Ketua dan Timbalan Ketua Domain.