UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

TISSA perkukuh kerjasama dengan Epic Valley  

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Pulau Pinang – Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited menjalin hubungan erat dalam memperkukuhkan kerjasama dengan Epic Valley Holding Sdn. Bhd.

Usaha itu dapat disaksikan menerusi kunjungan hormat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Ts Dr. Shahimi Mohtar dan barisan Penjawat baharu TISSA-UUM terhadap Profesor Adjung TISSA-UUM, Tan Sri Dr. Fng Ah Seng.

Dalam pertemuan di Pejabat Epic Valley Holding Sdn. Bhd. baru-baru ini, Shahimi mewakili UUM merakamkan ucapan penghargaan terima kasih di atas sokongan dan komitmen berterusan yang diberikan oleh Tan Sri Dr. Fng Ah Seng dalam menjayakan aktiviti TISSA-UUM.

Jelasnya, kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan Dekan, Timbalan-timbalan Dekan serta pentadbir baharu di TISSA-UUM selain turut membincangkan program ‘International Conference on Information System in Accounting and Business (ICISAB) 2023’, Techergolf dan tajaan Hadiah Majlis Konvokesyen (Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Graduan Holistik).

Sementara itu, Fng Ah Seng yang merupakan Pengarah Urusan Epic Valley Holdings Sdn. Bhd. dan juga Pengerusi Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng berbesar hati dengan kunjungan tersebut serta pencapaian cemerlang UUM.

Beliau menyambut baik cadangan yang dibentangkan selain menyatakan sokongan dalam memberi komitmen untuk membantu TISSA-UUM menjayakan aktiviti tersebut.

“UUM adalah berlian yang bergemerlapan, mempunyai hubungan istimewa dan sentiasa dekat di hati,” katanya.

Beliau turut berkongsi tip dan pengalaman dengan delegasi berkaitan cabaran dan kaedah untuk menjadi seorang ketua yang hebat.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar UUM dapat memberi pendedahan awal kepada pelajar untuk menyertai syarikat lebih awal supaya budaya berfikir seperti seorang CEO atau usahawan dapat diterap dari awal pengajian mereka lagi.

Turut serta, Dekan TISSA, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Timbalan Dekan (Akademik), Prof. Madya Dr. Norhani Aripin; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Dr. Dzarfan Abd. Kadir; dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali.