UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Tol Rahmah Dan Cuti Tambahan Aidilfitri – Terima Kasih PM

Samsudin Oli

Samsudin Oli

Journalist and Assignment Editor for UUMTV .

SINTOK – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan kerana mengumumkan bayaran Tol Rahmah percuma selama empat hari bermula Rabu ini.

Yang Dipertuanya Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman yang juga Naib Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) berkata, pengumuman itu pastinya melegakan semua pihak terutama golongan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Katanya, pengumuman itu seolah-olah bonus kepada mereka kerana sebelum ini pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga telah membenarkan mereka pulang ke kampung halaman awal bagi menyambut aidilfitri dan mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Kini pengumuman tol percuma yang melibatkan 33 lebuh raya di seluruh negara bagi semua kelas kenderaan pula telah diumumkan.

“Kami amat bersyukur dan berharap kerajaan akan sentiasa memikirkan kebajikan rakyatnya,” sambungnya lagi.

Muhammad Izuan Faiz berharap dengan pengumuman itu sekali gus dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung nanti.

Namun dalam keghairahan untuk pulang ke kampung halaman YDP MPP ini berharap pengguna lebuh raya akan mematuhi dan memastikan keselamatan jalan raya dipatuhi terutama sepanjang musim perayaan ini.

Perdana Menteri dalam pengumuman sempena menyambut aidilfitri nanti turut mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kelepasan itu adalah berdasarkan tarikh pengumuman 1 Syawal oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Khamis ini.

Sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Jumaat, (21 April) maka hari Isnin, 24 April sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Moga pengumuman kerajaan perpaduan ini melegakan semua pihak.