UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Tony Fernandes letak jawatan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

KUALA LUMPUR: Tan Sri Tony Fernandes melepaskan jawatan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia X Bhd (AAX) berkuat kuasa semalam.

Menurut kenyataan syarikat penerbangan jarak sederhana kepada Bursa Malaysia, peletakan jawatan Tony, 58, dalam syarikat berkenaan adalah atas sebab komitmen lain.

Bagaimanapun, peletakan jawatan Tony tidak disusuli dengan pengumuman pengganti ahli perniagaan itu.

AAX telah melantik semula Tony sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada Julai 2022.

Tony Fernandes meletakkan jawatan awbagai CEO AAX berkuat kuasa, semalam. Gambar AirAsia

Dalam kenyataan berasingan, AAX menerusi pengumuman perubahan penting dalam pengurusan kanannya berkata, Tony yang dilantik sebagai pemangku CEO Kumpulan pada Julai lalu iaitu tambahan kepada jawatan Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas AAX akan berundur daripada jawatan kepimpinan kanan syarikat penerbangan itu bagi memastikan peralihan kepimpinan yang lebih lancar.

Mengulas mengenai pengunduran itu, Tony berkata, beliau kembali ke dalam AAX untuk ‘menghidupkan’ semula syarikat penerbangan itu selepas melalui proses hibernasi akibat COVID-19.

“Saya gembira kami berjaya dengan rancangan teguh ke atas 20 pesawat Kumpulan AAX merangkumi 13 pesawat untuk AAX dan baki tujuh pesawat Thai AAX (TAAX).

“Selepas pencapaian cemerlang diketuai Lim Kian Onn dalam langkah penstrukturan semula, tugas saya adalah untuk membawa syarikat penerbangan itu kembali kepada keuntungan dan pertumbuhan. Kami telah menambah baik struktur kos dan mewujudkan perniagaan kargo yang telah menyumbang kira-kira 20 peratus kepada hasil syarikat penerbangan semasa wabak dan akan terus memainkan peranan penting dalam pemulihan AA,” katanya.

Tony berkata, beliau yakin AAX akan kembali lebih kukuh dengan menawarkan penerbangan jarak sederhana yang bernilai hebat, diketuai oleh pasukan kepimpinan kanan di Malaysia dan Thailand.

Ujarnya, beliau kini akan memberi tumpuan untuk menyampaikan nilai penting kepada pemegang saham Capital A BHd termasuk AirAsia Aviation Group, perkhidmatan penerbangan, logistik, perjalanan, teknologi kewangan dan platform gaya hidup e-dagang.

Sementara itu, AAX turut mengumumkan pelantikan Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif TAAX berkuatkuasa hari ini.

AAX berkata, Tunku Mahmood Fawzy akan memberi perhatian kepada memantau hala tuju strategik dan memacu pertumbuhan mampan bagi AAX dan TAAX.