UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Townhall platform suarakan keperluan mahasiswa UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today

SINTOK: Sesi Townhall Bersama Naib Canselor menjadi medan kepada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk suarakan keperluan mereka.

Sesi Townhall anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM dengan kerjasama Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa itu dihadiri kira-kira 300 pelajar termasuk pegawai-pegawai kanan UUM di Auditorium SoIS pada Rabu lalu.

Pada sesi tersebut, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan telah membentangkan beberapa agenda utama melibatkan pengurusan UUM 2023, pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur, aktiviti pelajar 2023, perbelanjaan UUM bagi 2023 dan 2024.

Naib Canselor juga memaklumkan bahawa peruntukan untuk menaiktaraf rangkaian internet di kampus UUM telah diluluskan dan UUM telah menerima sebanyak RM24.7 juta bagi tujuan berkenaan.

Selain itu, beliau juga menerangkan tentang status projek pembangunan yang sedang dilakukan di sekitar kampus UUM, antaranya Pusat Kesihatan UUM dan lain-lain lagi.

“Dalam kita menguruskan pembangunan dan menambahbaik fasiliti untuk keselesaan semua, saya berharap pelajar UUM dapat mengamalkan penjimatan agar dapat mengurangkan perbelanjaan pembayaran untuk utiliti, maka hasil wang yang ada dapat digunakan untuk melaksanakan aktiviti pelajar seperti Food Bank UUM yang memanfaatkan golongan memerlukan.

“Di samping itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kelab persatuan dan Inapan Siswa (INASIS) kerana telah berjaya melaksanakan 857 aktiviti dalam tempoh setahun iaitu pada sesi 2022/2023. Saya harap lebih banyak aktiviti berimpak tinggi dapat dilaksanakan pada tahun hadapan seperti ‘1 INASIS, 1 Program’ di peringkat daerah, kebangsaan, dan antarabangsa yang boleh menjadi ‘Wow Factor’ di negeri Kedah,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin; Yang Dipertua MPP UUM, Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman dan pengetua-pengetua INASIS. – Kirti Vithyananthan (Pelajar Pelatih dari SMMTC)