Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today
SINTOK: Bagi memastikan Universiti Utara Malaysia (UUM) kekal relevan dan berada di landasan tepat ke arah menjadi universiti pengurusan terbaik di Malaysia dan Asia, tiga transformasi akan dilaksanakan menjelang tahun 2024.
Ini selari dengan perkembangan UUM yang bakal menginjak usia genap 40 tahun pada tahun hadapan.
Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, tiga pelan ini adalah sebahagian usaha untuk memacu universiti ini terus kekal berada di persada antarabangsa.

Pertama, Pelan Pendigitalan UUM dari tahun 2024 hingga 2030.
Menurutnya, untuk menjayakan pelan tersebut, infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) perlu dilengkapkan, justeru Kementerian Pendidikan Tinggi telah memperuntukkan RM52 juta kepada UUM pada Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi tahun 2022 hingga 2024.
“Peruntukan ini dapat sedikit sebanyak menambah baik sistem WiFi dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif. Langkah ini akan menjamin kejayaan pelaksanaan sistem pengajaran dan pembelajaran yang bersifat fleksibel atau hibrid.
“Melalui pelan ini, kecekapan akses maklumat dan perkhidmatan kepada warga kampus serta pemegang taruh UUM akan dipertingkatkan, dan seterusnya memperkukuhkan kedudukan UUM sebagai institusi yang berdaya saing dan kompetitif,” katanya pada Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM di Dewan Mu’adzam Shah, pagi ini.

Kedua, pelaksanaan Program Kelestarian Kampus di mana UUM komited dalam menerajui aspek hijau dan kelestarian.
Dr. Mohd Foad berkata, pelan induk kelestarian hijau kampus UUM atau ‘UUM Living Campus Blueprint’ 2019-2030 telah dibangunkan dan kini dalam fasa pertengahan pelaksanaan.
Menurut beliau, pelan tersebut akan dimantapkan secara berterusan dan diharapkan membawa manfaat yang lebih besar, memupuk pemikiran kreatif dan menilai secara berterusan tahap kelestarian dalam aktiviti seharian.
“Penekanan khusus akan diberikan kepada aspek ESG iaitu elemen Alam Sekitar (Environmental), Sosial (Social), dan Tadbir Urus (Governance). Fokus ini adalah penting untuk memperkukuh ekosistem alam sekitar, aktiviti kemasyarakatan yang memberi impak positif serta tadbir urus yang cekap dan praktikal di UUM.
“Inisiatif ini memerlukan sokongan, kerjasama dan komitmen dari semua pihak untuk menyokong usaha kelestarian secara menyeluruh dan inklusif, sejajar dengan pelaksanaan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di peringkat tempatan dan komuniti global,” ujarnya.

Ketiga, mewujudkan Pusat Kajian Kes Negara yang akan menjadi rujukan kajian kes terhadap organisasi besar, terutamanya syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Proton, Pos Malaysia dan syarikat minyak terkemuka seperti Shell dan Petronas.
Kata Naib Canselor, usaha ini merupakan langkah signifikan dalam memahami arus dinamik perniagaan.
Tambahnya, strategi yang berkesan, amalan terbaik dan pengajaran praktikal yang diperoleh oleh organisasi ketika menghadapi pelbagai cabaran dalam persekitaran perniagaan merupakan kunci untuk diformulasikan dan dikongsi agar kerangka kejayaan dapat diterapkan.
“Hasil kajian kes tidak hanya memberi asas pembelajaran kepada pelajar, tetapi juga dapat membantu pihak pengurusan organisasi merangka strategi yang lebih berkesan.
“Kewujudan pusat kajian kes ini akan memperkukuhkan lagi reputasi UUM sebagai pusat rujukan pengurusan yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara,” ujar beliau.
Dr. Mohd Foad berharap tiga agenda tersebut dapat direalisasikan ke arah mengintegrasikan teknologi terkini dalam pendidikan tinggi, khususnya di UUM.