KUALA LUMPUR – Seramai tujuh Ahli Lembaga Pengarah (LPU) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang tamat tempoh perkhidmatan diraikan di Majlis Sanjung Bakti pada 22 Oktober 2023.
Pengerusi LPU, Tan Sri Datuk Wira Dr. Haji Mohd Shukor Hj. Mahfar meraikan mereka bersama Ahli Lembaga Pengarah UUM, Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan pegawai-pegawai kanan universiti.

Ketika berucap di majlis itu, beliau melahirkan penghargaan kepada semua tujuh ahli LPU yang tamat tempoh perkhidmatan mereka iaitu Tan Sri Dr Mazlan Yusoff, Dato’ Muzammil Mohamad, Dato’ Noraslina Datuk Zainal Abidin, Dato’ Wan Shaharuddin Wan Mahmood, Prof. Dr. Abdul Malek Hj Abdul Karim, Puan Nazira Abdul Rahim dan Encik Khairul Azwan Harun.
Katanya, Majlis Sanjung Bakti ini diadakan bagi menghargai jasa dan khidmat mereka ketika bersama-sama UUM.

“Peranan yang dimainkan oleh kesemua mantan LPU ini sebagai badan pelaksana perubahan dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan di universiti ini sesungguhnya telah memandu hala tuju universiti, selain mengekalkan misi universiti ini,” ujarnya.
Tan Sri Dr. Haji Mohd Shukor berkata, mantan ahli LPU telah memainkan peranan sebagai badan yang mengelola, membuat dasar dan mengawasi universiti mencakupi aspek kewangan, sumber manusia, penyelidikan, pembangunan, pengurniaan ijazah, pelaburan dan pelantikan, selain memupuk hubungan dengan masyarakat, sektor korporat, industri, global dan keantarabangsaan.

“Mereka telah memainkan peranan dalam memastikan tadbir urus yang cekap dalam menghasilkan graduan yang mampu mendepani Revolusi Industri 4.0 serta berpegang teguh kepada nilai, etika dan ciri kerohanian,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan dalam ucapan aluannya turut mengucapkan penghargaan kepada kesemua tujuh ahli LPU yang diraikan.
