UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

U-ASSIST jadi inspirasi tambah baik perkhidmatan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Berita dan gambar Syamimi Mohd Zaini

SINTOK: U-Assist bukanlah asing kepada warga kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), khususnya dalam kalangan pelajar dan kini, pusat sehenti itu telah menjadi salah satu lokasi tumpuan atau persinggahan pengunjung dari pelbagai organisasi sama ada dari dalam mahupun luar.

Kepentingan U-Assist yang berperanan sebagai UUM One Stop Centre dilihat mampu menjana idea-idea baharu bagi tujuan penambahbaikan perkhidmatan terutama dalam bidang pengajian tinggi awam dan swasta.

Rata-rata pengunjung yang ditemui menyifatkan lawatan ke U-Assist memberi inspirasi kepada mereka untuk menambahbaik atau dijadikan sebagai penanda aras kepada organisasi masing-masing.

Pengurus U-Assist, Suraya Deraman mengiringi pengunjung yang melawat pusat sehenti UUM itu.

Pengarah Pusat Pengurusan Ehwal Pelajar, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr. Noorkartina Ahmad berkata, segala fasiliti dan perkhidmatan yang ditawarkan di U-Assist menjadi inspirasi atau contoh terbaik yang boleh diaplikasikan dalam pengurusan pihaknya.

“Saya sangat teruja melihat kemudahan yang disediakan yang secara tidak langsung memberi inspirasi kepada pihak pengurusan pelajar KUIPs.

“Perkhidmatan seperti ‘one stop centre’ ini sangat penting kerana memudahkan urusan orang ramai, selain menjimatkan masa dan proses bagi semua pihak yang terlibat.” ujarnya.

Bagi wakil Badan Riset dan Inovasi Daerah Provinsi Nusa Tenggara Barat (BRIDA NTB) Indonesia, Sri Hastuti Novila Anggraini Saiful, U-Assist adalah salah satu pusat perkhidmatan yang terbaik di UUM kerana turut menempatkan perkhidmatan kaunter bagi urusan pelajar antarabangsa.

U-Assist bukan sahaja menjadi tumpuan pewarga UUM, malahan dari organisasi luar termasuk antarabangsa.

“Selamat maju jaya buat U-Assist dan UUM,” ucapnya.

Sementara itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Ahmad, Kuala Nerang, Syakirah Abdul Rahman turut berkongsi pengalaman berurusan dengan U-Assist.

Syakirah yang merupakan alumni UUM berkata, maklum balas segera yang diberikan oleh U-Assist telah membantu mempercepatkan urusannya mendapatkan dokumen-dokumen pembayaran ketika belajar di UUM dahulu.

“Harapan saya agar UUM itu sendiri memberi peluang yang sebanyak mungkin kepada pelajar di luar bandar khususnya dengan pendedahan-pendedahan berkaitan kursus dan bantuan pengajian yang ditawarkan oleh pihak universiti,” katanya.