UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan pemacu kerja berkualiti

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Omar Ibrahim

Gambar SAPSP/UUM Today

SINTOK, 2 April – “Tujuan berpuasa ialah untuk menjadikan kita insan yang berkualiti dengan melaksanakan prinsip ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan,” kata Ustaz Abdul Ghani Abdullah ketika menyampaikan tazkirah kepada warga Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Soisal (SAPSP) sempena Majlis Iftar yang diadakan di EDC UUM, baru-baru ini.

Menurutnya, prinsip ubudiyyah menekankan tentang sifat manusia sebagai hamba kepada Allah, maka setiap perbuatan dan pekerjaan seharian manusia hendaklah selari dengan syariat yang diturunkan oleh Allah.

Katanya, tujuan ibadah itu sendiri merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk tingkah laku dalam pekerjaan sama ada perbuatan, perkataan dan gerak hati (niat) yang diredhai Allah.

“Oleh itu, kecemerlangan dan kejayaan dalam kerjaya dan juga kehidupan ini sangat berkait rapat dengan sejauhmana kita melakukan pekerjaan itu dengan sebaik mungkin kerana Allah SWT,” katanya.

Beliau turut menerangkan prinsip mas’uliyyah iaitu berkaitan integriti dan tanggungjawab di mana setiap perbuatan dan pekerjaan manusia adalah berkaitan dengan agama dan melibatkan soal dosa dan pahala. Ia akan dinilai dan diadili di akhirat kelak. Prinsip ini menekankan soal pelaksanaan tugas dengan penuh tanggungjawab dan akauntabiliti.

“Prinsip itqan iaitu prinsip yang menekankan kepada akhlak dan amalan soleh. Setiap manusia perlu bersungguh-sungguh, tekun dan memberi komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tugas. Ini akan melahirkan kualiti kerja yang baik dan pekerja yang cemerlang seterusnya insan yang bertaqwa.

“Ia juga melibatkan soal keikhlasan atau mutu kerja di mana dari ajaran Islam inilah yang akan menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat,” katanya.

Sementara itu, Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Md Zawawi Abu Bakar berkata, majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan SAPSP, di samping mengeratkan hubungan antara staf serta memberi peluang untuk mengenali ahli keluarga staf SAPSP dengan lebih dekat lagi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasangan yang hadir kerana memberi kepercayaan dan memahami bebas tugas pasangan masing-masing.

Dr. Md. Zawawi turut memberi sumbangan Bakul Ramadan kepada kakitangan UUM Property Sdn. Bhd. yang bertugas di bangunan SAPSP pada majlis berasingan.