UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Umisofian: Bekerja selama 40 tahun di UUM sejak usia 20 tahun

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Siti Fatimah Abdullah

Gambar Umisofian Md Yusuf/UUM Today

SINTOK, 7 Februari – Demi cinta, Umisofian Md Yusuf membida nombor pendaftaran kereta UUM77 bernilai RM10,000 sebagai kenangan orang yang ke-77 mendaftar sebagai penjawat awam di UUM pada 40 tahun yang lalu.

Naib Canselor, Prof Dr Mohd Foad sakdan dalam ucapan Amanat Tahun Baru 2024 pada 30 Januari lalu, merakam penghargaan kepada tiga staf UUM yang mempunyai nombor staf dua digit kerana setia bersama-sama UUM selama 40 tahun.

Salah seorangnya ialah Umisofian.

“Tarikh keramat 7/7/1984 melapor diri sebagai staf Universiti Utara Malaysia (UUM) Tanah Merah dengan nombor pekerja yang ke-77 merupakan detik terindah untuk dikenang. Malah pada ketika itu juga pelajar-pelajar baharu UUM juga turut mendaftar sebagai pelajar dan mereka hampir seusia dengan saya.

“Justeru, saya jadikan nombor plat istimewa ini sebagai satu nilai sentimental yang perlu diabadikan serta menjadi lipatan sejarah yang mungkin tidak akan berulang,” katanya.

Berkongsi detik awal menjejak di UUM, ketika menunggu keputusan STPM, beliau terbaca iklan jawatan kosong sebagai pegawai kerani di UUM dalam akhbar pada ketika itu. Tanpa berlengah lagi beliau terus memohon dan mendapat tawaran tidak berapa lama kemudian.

“Saya masih ingat, sewaktu mula berkhidmat, usia saya baru menjangkau 20 tahun dan boleh dikategori sebagai staf yang masih muda belia. Walaupun masih muda, saya tetap menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, sekalipun terpaksa beralaskan simen kerana kerusi meja belum lengkap.

“Proses menyusun dokumen dan fail juga dilaksanakan secara manual, malah kami terpaksa duduk di atas lantai demi memastikan semua dokumen dapat disusun secara teratur dan sistematik.

“Tapi kami bangga kerana kamilah orang penting dalam mengurus perkhidmatan biarpun terpaksa ke sana sini dalam keadaan kemudahan dan peralatan yang tidak mencukupi. Kami tetap memberi khidmat yang terbaik demi memastikan semua urusan dan perkhidmatan berjalan lancar.

“Pernah juga seorang pekerja melaksanakan banyak tugas seperti menguruskan biasiswa pelajar, fail, menyediakan waran penerbangan, skim perubatan, dan lain-lain tugasan pentadbiran perlu ‘multitasking’ tetapi kami bekerja dengan gembira, rapat macam adik beradik,” ujar beliau lagi.

Apabila UUM berpindah ke kampus tetap di Sintok, banyak perubahan yang berlaku dari segi kemudahan insfrastruktur dan sistem pengurusan maklumat. Cara bekerja juga menjadi lebih cepat dengan adanya kemudahan komputer.

Kecintaan terhadap ilmu tidak pernah padam walaupun niat itu pernah ditangguhkan seketika, beliau tetap menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda dan sarjana.

“Hasil daripada usaha gigih yang tidak pernah kenal putus asa, saya telah dinaikkan pangkat. Sebelum bersara, saya sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pendaftar di Jabatan Bendahari,” ujarnya.

Beliau menyifatkan kemuncak kejayaan apabila berjaya menulis sebuah buku karya kreatif iaitu novel “Tragedi Dah Mahsuri: Hadiah daripada Tuhan”. Novel yang julung kali diterbitkan ini merupakan garapan kisah benar daripada peristiwa Covid-19 yang melanda negara.

“Musibah daripada peristiwa Covid-19 telah mengubah corak bekerja saya. Saya mula mengenali cara bekerja secara dalam talian. Hal ini merupakan dimensi baharu yang sangat membantu saya dalam mendalami ilmu berkaitan teknologi terkini,” akuinya.

40 tahun berkhidmat merupakan satu tempoh yang panjang, beliau berbangga kerana berpeluang merasai pengalaman bekerja di bawah kepimpinan 10 orang Naib Canselor yang cukup berwibawa.

“Saya sangat bersyukur boleh melihat UUM membangun di depan mata daripada tidak dikenali telah menjadi sebuah institusi yang sangat diyakini. Saya bermula dari bawah meniti pangkat demi pangkat secara perlahan-lahan, sekali gus memberi motivasi untuk terus bekerja sehingga meniti usia 60 tahun,” katanya.

Beliau akui, UUM telah membentuk dirinya menjadi orang yang berilmu, matang, memandang jauh ke depan, komited terhadap kerja, semangat yang tak pernah padam, amat mementingkan disiplin dengan menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda.

“Allah rezekikan kita bukan sahaja dalam bentuk wang, malah masa lapang, sihat tubuh badan, anak yang menyejukkan mata hati dan tenang menjalani kehidupan tanpa keluh kesah.

“Saya amat terasa jika ada yang mencemar nama baik UUM kerana kita sebahagian daripada UUM bak kata pepatah, cubit peha kiri peha kanan terasa.Kita sayang UUM tidak mahu tercalar imejnya sebab itu boleh bertahan di UUM selama 40 tahun dengan penuh kesetiaan.

“Pesanan saya, anggaplah kerja sebagai ibadah, misalnya apabila membantu pelajar menuntut ilmu, kita dikira jihad dan ada keberkatan dalam rezeki yang kita perolehi. Kita juga perlu seimbangkan ilmu dunia dan akhirat.

“Perlu berfikir secara positif mengharapkan redha Allah SWT dalam setiap perkara yang kita lakukan, kita perlu berkawan dengan orang yang baik-baik dan berilmu, sekali gus memberi aura yang positif. Apabila dikelilingi orang yang baik-baik akan mendorong kita ke arah kebaikan,” tuturnya mengukir senyuman manis.