Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today
SINTOK: Kebolehpasaran graduan pada tahun lalu yang mencatatkan lonjakan sehingga 94.4 peratus membuktikan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya memainkan peranannya kepada negara.
Hal ini jelas apabila kebanyakan graduan universiti ini berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, graduan yang dilahirkan UUM merupakan penyumbang kepada peratusan tinggi tersebut dalam indikator kebolehpasaran graduan.
Antara graduan yang berjaya ialah Muhammad Azmir Osman, graduan Sarjana Muda Multimedia yang kini bekerja sebagai animator di Les’ Copaque, syarikat penerbitan dan studio animasi komputer 3D yang menghasilkan animasi popular, siri Upin & Ipin.

Selain itu, graduan Sarjana Muda Komunikasi, Nurul Aisyah Mohd Basaruddin yang menjadi Wartawan di Sinar Harian.
Tambah Naib Canselor, ilmu yang dimiliki graduan sepanjang pengajian di UUM haruslah seiring dengan budi dan akhlak agar boleh diteladani masyarakat di sekeliling termasuk ahli keluarga.
“Sesungguhnya segulung ijazah dalam genggaman bukanlah satu penghujung kepada pencarian ilmu, tetapi jadikanlah ia sebagai sebuah permulaan bagi penerokaan kepada khazanah ilmu yang seluas lautan.
“Jadilah seorang yang cemerlang baik dalam bidang akademik mahupun dari sudut peribadi dan sahsiah. Terapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan terutamanya ketika melaksanakan tanggungjawab dan amanah agar hidup sentiasa dalam keberkatan,” katanya pada Sesi Kelapan Majlis Konvokesyen Ke-35 UUM pagi ini.
Dr. Mohd Foad turut menitipkan pesanan agar graduan UUM menyematkan tahap moral dan integriti tinggi, malah hargai pengorbanan, usaha, sokongan dan dorongan yang telah dicurahkan warga pendidik UUM dan keluarga.
Pada pagi ini, Naib Canselor menyampaikan ijazah kepada 896 graduan melibatkan 15 program pengajian dari UUM CAS.