SINTOK – Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC) dengan kerjasama Bahagian Kecemerlangan Akademik (BKA), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Jawatankuasa Strategik SULAM, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menganjurkan Joint Conference 2023: 2nd National Conference on SULAM and 8th Inspirational Scholar Symposium (JC2023: 2nd SULAM & 8th ISS) di Hotel Raia, Alor Setar pada 27 hingga 29 November 2023.
Pengarah UTLC Prof Madya Ts Dr Izwan Nizal Mohd Shaharanee berkata, persidangan tiga hari ini akan disertai oleh para sarjana, ahli akademik, pihak industri, dan pelajar dari pelbagai program.

“Mereka akan berkongsi idea, pengalaman, pandangan, hasil penyelidikan dan amalan terbaik berkaitan pelaksanaan SULAM serta inovasi pengajaran dan pembelajaran nanti,” sambungnya lagi.
Katanya, majlis perasmian akan dilakukan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Ts. Dr Shahimi Mohtar pada 27 November manakala majlis penutup dan penyampaian hadiah dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin.
SULAM atau Service Learning Malaysia-University for Society merupakan satu konsep yang amat penting dalam dunia pendidikan kerana SULAM bukan sekadar program sivik atau khidmat masyarakat biasa yang bersifat “one-off” tetapi lebih kepada pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan elemen-elemen penting.

Antaranya pembelajaran aktif, perkhidmatan kepada masyarakat dan nilai tambah iaitu pemindahan ilmu daripada universiti dan pelajar kepada komuniti dan sebaliknya.
Dengan pelaksanaan ini pastinya program SULAM dapat dilestarikan untuk tujuan penambahbaikan ekosistem setempat dan mengeratkan hubungan universiti dan komuniti.
Moga usaha untuk melahirkan generasi pelajar yang berpengetahuan tentang isu semasa dan setempat, prihatin dengan keperluan-keperluan masyarakat, dan proaktif dalam menghasilkan inovasi dalam penyelesaian masalah berdasarkan ilmu yang dipelajari demi menyumbang kepada kesejahteraan bersama ini akan mencapai objektifnya nanti.
Persidangan ini juga dijangka mengenengahkan 36 pembentang kertas yang akan membentangkan kertas sempena persidangan ini termasuk 45 poster pertandingan SULAM yang mendokumentasikan laporan-laporan penyelidikan, refleksi-refleksi tentang transformasi kesarjanaan pengajaran dan pembelajaran, dan pelaksanaan inovasi-inovasi SULAM.