UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM akan tumpu 3 fokus perkasa mahasiswa

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK, 28 Mac – Bagi memperkasakan mahasiswa di universiti, Universiti Utara Malaysia (UUM) akan terus memberi tumpuan kepada tiga fokus utama.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, fokus ini akan dibantu Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), pusat pengajian dan juga Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI).

Menurutnya, tiga fokus tersebut ialah pencapaian digital di mana pelajar akan diberi peluang untuk mencuba sesuatu yang baru dan belajar secara kreatif, interaktif dan berfikir di luar kotak.

“Kedua, keusahawanan pelajar di mana langkah ini adalah untuk memastikan ekosistem yang lebih kondusif dan lestari, dengan gabungan yang sepadu antara JHEP, pusat pengajian dan CEDI, UUM berhasrat untuk lahir ramai usahawan dalam kalangan pelajar.

“Akhir sekali, khidmat mobiliti atau keusahawanan di mana UUM berharap pelajar dapat mempelajari pelbagai bidang baru sebagai nilai tambah kepada ilmu pengetahuan,” katanya pada Majlis Penyampaian Amanat dan Majlis Ikrar Pelajar Baharu Ambilan Mac 2024 Sesi A232 di Auditorium Pusat Penginapan Pelajar (SAC), semalam.

Seramai 99 pelajar baharu mendaftar secara maya dan fizikal termasuk pelajar antarabangsa seperti Jepun, Indonesia dan China.

Dr. Mohd Foad berkata, seiring dengan kemasukan pelajar baharu itu serta 50 pelajar mobiliti menjadikan keseluruhannya adalah seramai 149 pelajar.

Menurutnya, pemilihan pelajar ke UUM adalah tepat dan ini dapat dikongsi dengan tahap kebolehpasaran graduan (GE) 2023 iaitu mencapai 94 peratus.

“Ini bermakna graduan UUM telah bekerja selepas enam bulan tamat pengajian. Bagaimanapun, peratus GE ini perlu ditingkatkan dalam usaha UUM meningkatkan lagi kecemerlangan dalam kategori gaji premium iaitu sebanyak RM4,000 sebulan.

“Kita menyasarkan pada tahun 2024, UUM mencapai enam peratus graduan menerima gaji premium berbanding empat peratus sekarang,” katanya.

UUM juga akan berusaha meningkatkan apa juga prasarana, kemudahan dan juga kualiti pendidikan seiring dengan misi dan visi.

Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Ambilan Mac Sesi A232 telah diketuai pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Eizzat Wajdi Zulkifli dan seterusnya menyerahkan watikah lafaz ikrar tersebut kepada Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah disaksikan Dr. Mohd Foad.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Bendahari, Abdul Roni Baharom dan Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib.