UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM, APTISI kongsi strategi jadi universiti kelas dunia

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today

SINTOK: Pencapaian Universiti Utara Malaysia (UUM) sehingga diiktiraf di persada dunia telah menjadi penanda aras kepada Asosiasi Perguruan Tinggi Swasta Indonesia (APTISI) untuk bersama-sama menjadi universiti kelas dunia.

Sehubungan itu, Program Latihan Eksekutif APTISI anjuran Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) diadakan selama tiga hari bermula semalam.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Program Latihan Eksekutif ini adalah satu inisiatif yang direka khas untuk memberikan latihan kepada pengurusan tertinggi universiti dalam merangka pelan ke arah menuju status universiti kelas dunia.

Menurutnya, program ini akan menjadi pemacu dalam rangka mencapai standard dan penarafan global seperti QS dan Time Higher Education (THE).

“UUM tidak hanya ingin berbangga dengan pencapaian dikecapi kini, tetapi juga ingin berkongsi pengetahuan, pengalaman dan strategi yang telah membawa universiti ke tahap ini dengan APTISI.

“Justeru, kami bersedia untuk berkongsi strategi dan pendekatan terbaik kepada rakan-rakan APTISI supaya dapat berada pada kedudukan yang sama dengan UUM, atau barangkali lebih tinggi,” katanya pada Majlis Perasmian Program Latihan Eksekutif Asosiasi Perguruan Tinggi Swasta Indonesia (APTISI) – ‘Towards A World Class University’ di EDC UUM, semalam.

Naib Canselor turut berkongsi pencapaian UUM dalam pelbagai kategori ranking dunia seperti QS World University Rankings dan THE World University Rankings.

Kata beliau, pencapaian yang dikecapi universiti ini merupakan hasil kerja keras seluruh warga UUM dan ia menjadi sumber inspirasi untuk terus berusaha dalam mencapai tujuan menjadi universiti kelas dunia.

Tambah Dr. Mohd Foad, beliau berharap program tersebut akan menjadi platform kepada semua untuk belajar, berbagi dan membangun bersama demi membawa nama universiti masing-masing di pentas dunia.

Sementara itu, Presiden APTISI, Dr. Ir H. M Budi Djatmiko berkata, program latihan eksekutif itu bertujuan untuk implementasi pengetahuan, pengalaman dan strategi yang terdapat di UUM untuk menjadi universiti bertaraf dunia.

“Kita juga akan usahakan dari pemeteraian memorandum persefahaman ke memorandum perjanjian agar APTISI dapat belajar untuk memperoleh akreditasi antarabangsa seperti UUM.

“Saya harap rektor-rektor yang hadir dapat saling berbincang dengan dekan-dekan di UUM untuk mengadakan jalinan kerjasama. Terima kasih kepada UUM kerana sudi berkongsi pengalaman sebagai ‘world class university’,” katanya.

Hadir sama, Pengarah CIAC, Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar dan pegawai-pegawai kanan UUM serta APTISI.