Gambar Shamsaimi Ezil dan Hairul Nizam Zahari/UUM Today
ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menawarkan program pengajian peringkat sarjana muda dan pascasiswazah secara terbuka dan jarak jauh (ODL) mulai tahun depan.
Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, bagi memastikan proses penawaran dan penyampaian pengajaran di UUM menepati piawaian dan kehendak Kementerian Pendidikan Tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), universiti ini akan menawarkan lima program sarjana muda dan 13 program pascasiswazah secara ODL.
Menurutnya, lima program sarjana muda itu akan dilaksanakan pada Oktober tahun depan dan 13 program pascasiswazah pada September 2024.
Kata beliau, ODL merupakan pembelajaran atau kelas yang dilaksanakan secara atas talian (online).
“Sebelum ini universiti memperkenalkan program pengajian jarak jauh (PJJ) di mana kelas pembelajaran masih diadakan secara bersemuka.

“Manakala kaedah ODL ini lebih fleksibel di mana pelajar boleh mengikuti kelas sama ada menerusi komputer atau telefon pintar. Jika ada kelas secara bersemuka, syaratnya tidak melebihi 20 peratus,” katanya ketika menghadiri Majlis ‘A Cuppa of Aidilfitri’ UUM Bersama Media Kedah, hari ini.
Lima pogram sarjana muda yang ditawarkan secara ODL mulai Oktober 2024 ialah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Sarjana Muda Pengurusan Awam, Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam serta Sarjana Muda Komunikasi.
Di samping itu, 13 program pascasiswazah yang akan ditawarkan secara ODL mulai September 2024 ialah Sarjana Sains (Perakaunan Antarabangsa), Sarjana Ekonomi, Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan), Sarjana Sains (Data Analitik), Sarjana Kewartawanan Multimedia, Sarjana Sains (Teknologi Maklumat), Sarjana Sains (Pengurusan), Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam, Sarjana Sastera Linguistik Terapan, Sarjana Undang-Undang Komersial, Sarjana Sains (Koreksional), Sarjana Politik Antarabangsa dan Sarjana Pengurusan Awam.

Dr. Mohd Foad turut mengalu-alukan pengamal media untuk mengambil program Sarjana Kewartawanan Multimedia secara ODL yang tidak akan mengganggu tugas harian mereka.
Pada majlis itu, lebih 50 pengamal media negeri Kedah terdiri wartawan, jurufoto dan jurukamera telah diraikan dan bersempena sambutan Syawal. Lebih meriah, turut diadakan acara cabutan bertuah.
Naib Canselor berkata, UUM amat menghargai peranan media dalam membantu menyampaikan maklumat dan mempromosikan UUM kepada masyarakat umum.
Beliau berharap agar jalinan kerjasama dan persahabatan antara pihak UUM dan media di Kedah sentiasa utuh dan berkekalan demi manfaat bersama.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Presiden Kelab Media Elit Kedah (KMEK), Adie Suri Zulkeflli dan pegawai-pegawai kanan universiti.
Dalam pada itu, Adie Suri merakamkan penghargaan kepada UUM atas penganjuran majlis berkenaan sebagai menghargai pengamal media negeri Kedah.
Beliau berharap lebih banyak jalinan kerjasama dapat dilaksanakan antara KMEK dan juga UUM.
