Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today
SINTOK: Seramai 5,738 graduan akan diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-36 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bermula 19 sehingga 23 November ini di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.
Bakal graduan akan menerima ijazah masing-masing mengikut sembilan sesi yang telah ditetapkan bermula Ahad ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Canselor berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah di majlis konvokesyen kali ini.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, daripada keseluruhan 5,738 graduan tersebut, seramai 4,333 (75.52%) adalah terdiri daripada graduan sarjana muda, manakala 1,387 (24.17%) merupakan graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan, Ijazah Sarjana dan Diploma Pascasiswazah serta 18 graduan (0.31%) Diploma Eksekutif.
Menurutnya, seramai 1,201 (27.72%) graduan Sarjana Muda akan menerima Ijazah Kelas Pertama, Kelas Dua Atas seramai 2,944 (67.94%) dan Kelas Dua Bawah seramai 188 (4.34%).
Kata beliau, majlis konvokesyen ini melibatkan 5,371 graduan tempatan dan 349 lagi adalah graduan antarabangsa termasuk empat graduan Palestin.
“Pada sesi pertama konvokesyen nanti akan menyaksikan seramai 81 graduan menerima anugerah dan pingat kecemerlangan akademik serta ijazah masing-masing yang disampaikan oleh Tuanku Canselor termasuk tiga penerima anugerah utama universiti iaitu Anugerah Pelajaran Diraja (2) dan Pingat Emas Canselor (1) dan penerima bagi 20 Anugerah Kecemerlangan Akademik.
“Penerima Anugerah Pelajaran Diraja akan menerima tunai RM7,500 berserta sijil, manakala penerima Pingat Emas Canselor menerima tunai RM4,000 berserta sijil,” ujar beliau pada sidang media yang diadakan di EDC UUM, pagi tadi.

Selain itu, pada sesi pertama majlis juga turut mengurniakan gelaran Profesor Emeritus kepada tiga penerima iaitu Prof. Dr. Ku Ruhana Ku Mahamud, Prof. Dr. Rushaimi Zein Yusoff dan Prof. Dr. Ir. Che Sobry Abdullah.
Dr. Mohd Foad berkata, UUM juga meraikan 17 graduan sulung bagi empat program baharu iaitu Sarjana Sains Keselamatan Siber (8), Sarjana Sains (Pengurusan Rantaian Bekalan) (3), Sarjana Sains (Pengurusan Projek) (1) dan Sarjana Sains (Pengurusan Pengangkutan dan Logistik) (5).
Sempena Majlis Konvokesyen Ke-36 ini juga, turut berlangsung Pesta Konvokesyen (PESKON) yang bermula hari ini sehingga 25 November di Padang Kawad PALAPES.
Bertemakan ‘Mahasiswa Prihatin Pemangkin Generasi Madani’, kira-kira 150 lot perniagaan dibuka yang menjual makanan dan barangan, selain reruai pameran motor klasik, mini zoo, persembahan artis, jualan rahmah dan derma Tabung Prihatin Palestin.

Menurut Naib Canselor, penganjuran PESKON itu bertujuan meraikan mahasiswa yang akan bergraduasi pada Majlis Konvokesyen UUM.
Katanya, sambutan minggu konvokesyen ini secara lazimnya akan melibatkan penyertaan dan kehadiran tetamu dari seluruh negara yang mana ianya dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat setempat khususnya di UUM.
“Pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang merangkumi program akademik, sukan, kerjaya, kerohanian, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan diadakan, di samping dapat memperkukuhkan lagi jaringan kerjasama strategik dengan rakan industri melalui kolaborasi program,” ujar beliau.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Akademik, Azian Nafiah; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Muhamamd Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi dan Pengarah PESKON, Muhammad Iman Hanafi Aizam.