Gambar Prof. Madya Ts. Dr. Nor Hazlyna Harun/UUM Today
SINTOK: Bagi meningkatkan kesedaran terhadap perlindungan sumber air global dan Malaysia, Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan seminar bertajuk ‘Public Health And Water Quality In Malaysia Context‘ menerusi Webex, baru-baru ini.
Objektif webinar ini adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap perlindungan sumber air yang semakin berkurangan di peringkat global termasuk krisis air yang berlaku di Malaysia.
Webinar anjuran Data Science Research Lab, SOC dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjemput dua pakar dalam bidang pemuliharaan air iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Air Perlis (SAP), Ir. Dr. Haji Mohmad Asari Daud yang juga merupakan Pengerusi The Malaysian Water Association dan Pengarah Micropollutant Research Centre (MPRC), UTHM, Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Radin Maya Saphira Radin Mohamed.

Kedua-dua mereka masing-masing mengupas topik Understanding Malaysian Water Industry Statistics-5W1H dan Navigating Water Quality Issues and Monitoring in Malaysia di hadapan lebih 60 peserta yang mengikuti webinar tersebut terdiri daripada pensyarah, staf pentadbiran dan pelajar serta pelajar Setif University, Algeria.
Menurut Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Radin Maya Saphira Radin Mohamed, setiap rakyat Malaysia perlulah memainkan peranan sebagai pengguna dan bertanggungjawab dalam memastikan ketersediaan sumber air negara terus dipelihara bagi menjamin kelestarian air untuk generasi-generasi yang akan datang.
Beliau turut menekankan pihak kerajaan Malaysia perlu mempertingkatkan lagi aktiviti penguatkuasaan dan peraturan sedia ada diperketatkan lagi bagi menjamin sumber air negara kekal terpelihara khususnya dalam senario pencemaran sungai di Malaysia akibat sisa bahan kimia yang dilepaskan oleh pihak industri serta aktiviti pembalakan haram yang menganggu ekosistem tadahan air semulajadi negara.
Pada slot kedua, Ir. Dr. Haji Mohmad Asari Daud turut membincangkan mengenai penstrukturan semula industri air negara dan statistik industri air di Malaysia.
Menurut beliau, webinar ini sangat bermanfaat dalam memberi kefahaman terhadap isu-isu penting berkaitan sumber air negara dan kaedah pemuliharaan yang perlu diberi perhatian yang serius oleh semua rakyat Malaysia.