UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM bantu dua kilang peroleh sijil GMP  

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

PERLIS: Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya melahirkan dua pengilang yang memperoleh pensijilan Good Manufacturing Practice (GMP) bertaraf antarabangsa untuk mencapai taraf operasi pengilangan yang berdaya saing di peringkat tertinggi.

Mereka adalah Madina Food Industries dan Sabr Ad Dhuha Enterprise yang beroperasi di Perlis.

Ketua Perunding Projek Pensijilan GMP dari UUM, Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail berkata, pengilang industri kecil dan sederhana (IKS) merupakan tulang belakang ekonomi yang penting untuk negara terutamanya selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

Jelasnya, kemampuan IKS berdaya saing sehingga ke peringkat global akan memastikan kesinambungan bekalan produk berkualiti tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Sejajar dengan itu, pihak IKS sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan operasi pengilangan bagi memastikan mereka bukan sahaja mampu bersaing di pasaran tempatan, malah mampu menembusi pasaran antarabangsa yang menjanjikan pulangan lumayan kepada para pengilang yang terlibat.

“Kolaborasi strategik antara UUM dan IKS tempatan ini diberikan pelbagai latihan hands-on serta bimbingan di setiap peringkat proses pensijilan. Kita bukan sahaja membantu dari segi pengetahuan tentang GMP dan keselamatan makanan, tetapi juga memberikan khidmat secara hand-holding bagi memastikan pengilang IKS mempunyai keupayaan untuk mengekalkan operasi mereka. 

“Usaha ini merupakan keperluan untuk memastikan pengilang IKS mampu mengekalkan status pengilang GMP secara konsisten dan berterusan,” ujarnya yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang pengilangan terutamanya pengilangan makanan.

Dengan adanya pensijilan ini katanya, pengilang IKS mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan lebih meluas dan mereka juga perlu dilengkapkan dengan pengetahuan berkenaan operasi pengilangan bertaraf tinggi bagi menghasilkan produk yang selamat, dan berdaya saing melangkah lebih jauh.

Beliau yang juga pakar teknikal menegaskan betapa pentingnya para pengilang tempatan berusaha untuk memastikan aras keselamatan makanan tinggi sentiasa dipenuhi dan dicapai bagi meyakinkan pelanggan tentang kualiti produk mereka.

“Pengilang IKS sering menghadapi kekangan kewangan apabila cuba menaiktaraf fasiliti dan operasi kilang, mujurlah mereka mendapat bantuan kewangan daripada pihak MARA Negeri Perlis bagi mencapai pensijilan GMP,” tambahnya.

Beliau berharap supaya pengilang IKS lain juga akan mencuba untuk menjadi pengilang bertaraf GMP di masa hadapan.

GMP merupakan sebuah skim pensijilan pengilang yang mendokong amalan pengilang baik yang menekankan faktor jaminan keselamatan makanan sebagai teras utama dalam pengoperasian sesebuah kilang makanan di Malaysia. Skim pensijilan GMP di Malaysia dipantau di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diiktiraf oleh pelbagai negara luar sebagai jaminan makanan selamat ke atas produk yang dihasilkan oleh kilang yang bertaraf GMP.

Ini menjadikan sijil GMP sebagai pendorong kemudahpasaran produk dan ‘competitive advantage’ yang kuat untuk pengilang IKS terutamanya, dalam memasarkan produk.

Sabr Ad Dhuha Enterprise merupakan pengilang jus minuman Al Khamsah dengan status perniagaan tunggal yang diasaskan oleh anak kelahiran Perlis, Mahadzir Zakaria

Mahadzir  berkata, hanya bermodalkan RM200, beliau mula membuat ramuan jus minuman daripada 5 jenis bahan herba yang dihasilkan untuk pengkomersilan pada Julai 2015.

“Bermula dengan menghasilkan “product home-based”, syarikat ini terus melangkah jauh menghasilkan lebih banyak produk dan beroperasi di premis yang lebih sesuai dan berjaya mendapatkan sijil Halal dan MeSTI,” katanya.

Pada tahun 2016, syarikat ini mengorak langkah lebih jauh dan meluaskan pasaran ke luar Perlis sehingga berjaya memiliki premis pengilangan yang lebih lengkap dan   bersedia untuk mendapatkan sijil GMP bagi meluaskan lagi kebolehpasaran produk.

Manakala Madina Food Industries diterajui pasangan suami isteri, Muhammad Rizal Osman dan Norafdzaniza Othman, masing-masing merupakan bekas jurutera dan pensyarah yang memulakan perniagaan pembuatan serbuk minuman sejak 2012 di Beseri, Perlis.

Muhammad Rizal berkata, hasil daripada dedikasi, ketekunan dan azam yang kuat   berjaya mendirikan dua kilang pembuatan serbuk minuman.

“Alhamdulillah produk ini mendapat sambutan hangat di pasaran tempatan. Dan produk terus berkembang luas sehingga menyedarkan kami tentang kepentingan GMP bagi meluaskan pasaran sedia ada dan bersaing di tahap antarabangsa,” katanya.

Hasil kesedaran tersebut, syarikat ini telah mendapatkan bimbingan daripada perunding UUM bagi membantu menaiktaraf operasi pengilangan mereka dan memperolehi sijil GMP. Setakat ini Madina telah menghasilkan lebih daripada 25 jenis produk minuman di fasiliti bertaraf GMP mereka dan telah berjaya menembusi pasaran luar negara.