UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM bawa pulang RM15,000

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malayia (UUM) telah muncul juara keseluruhan dalam ‘grand finale’ Bursa Inter-Varsity Stock Challenge (BISC) 2022 anjuran Bursa Malaysia pada 30 November lalu dengan membawa pulang hadiah utama bernilai RM15,000.

Kursi Bursa Malaysia, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) telah mengambil inisiatif menghantar satu pasukan terdiri empat ahli dan dua peserta solo.

Kejayaan tersebut telah dirangkul pasukan ‘Golden Bulls’ yang diwakili pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Chai Gao Siang; pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa, Yap Wei Quan; pelajar Sarjana Muda Kewangan, Ooi Jun Jie dan pelajar Sarjana Muda Pemasaran, Tan Soon Yao, malah mereka turut merangkul tempat ketiga Fortnight dengan menerima hadiah wang tunai RM500.

Pasukan Golden Bulls berjaya menjadi juara di ‘grand finale’ BISC 2022 dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000. Gambar SEFB/UUM Today

Selain itu, bagi penyertaan solo pula, pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Tan Liang Shen dan pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan), Mohamad Norisham Mohd Shamsuddin, masing-masing membawa pulang hadiah tempat pertama, Fortnight 2 bernilai RM1,500 dan tempat ketiga, Fortnight 4 bernilai RM500.

Menurut Gao Siang, dia berasa sangat gembira di atas kejayaan itu kerana sumbangan mereka di dalam pertandingan tersebut akhirnya membuahkan hasil.

“Bukan mudah untuk melepasi setiap saringan ini sehingga bergelar juara kerana sepanjang tiga bulan tersebut dan untuk mendapatkan Top 5 dalam ‘leaderboard’, kami perlu sentiasa memberi tumpuan terhadap pasaran saham Malaysia.

Tan Liang Shen memenangi tempat pertama Fortnight 2 membawa pulang RM1,500. Gambar SEFB/UUM Today

“Tambahan pula, kami tidak dapat memberi 100 peratus tumpuan untuk pertandingan ini kerana sepanjang cuti semester, setiap ahli pasukan mempunyai komitmen kerja lain, bagaimanapun kami tidak berputus asa dan cuba lakukan yang terbaik,” kata pelajar Semester 5 itu.

Tambah Gao Siang, sebelum pertandingan bermula, mereka telah mengadakan perbincangan terhadap strategik pelaburan yang akhirnya mendapat tiga strategik utama iaitu yang pertama adalah mengambil berat terhadap keadaan ekonomi dunia; kedua ialah menggunakan analisis teknikal seperti memerhati trend saham dan menentukan sokongan dan rintangan; ketiga ialah mengurus portfolio seperti menyimpan 20 peratus tunai.

“Ini adalah satu pengalaman berharga buat kami semua. Tidak sangka untuk menang kerana mempunyai saingan kuat seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya dan Taylor’s University,” ujarnya.

Penyertaan solo Mohamad Norisham turut melayakkannya memenangi tempat ketiga Fortnight 4 dengan hadiah wang tunai RM500. Gambar SEFB/UUM Today

Bagi Mohamad Norisham, menyertai BISC kali ini dimanfaatkan sebaiknya untuk menimba pengalaman baru berkaitan pasaran saham.

Katanya, dia berpeluang belajar untuk jual beli saham dan mengumpul keuntungan, tetapi perlu mengkaji sesuatu syarikat terlebih dahulu sebelum membeli saham tersebut.

“Saya kena kaji carta berapa harga yang sesuai untuk beli dan berapa harga sesuai untuk jual saham. Sangat menyeronokkan dengan pengalaman baru ini,” kata pelajar Semester 3 itu.

Pertandingan simulasi perdagangan saham selama tiga bulan bermula 15 Ogos hingga 11 November itu direka untuk mencabar pelajar universiti mendapatkan pulangan pelaburan yang baik.

Ia dibuka kepada semua pelajar universiti tempatan dan sepanjang pertandingan selama tiga bulan itu, peserta mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada broker penaja selaku mentor untuk membentuk Unibroker Team.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah (tengah) ketika merasmikan BISC 2022 di Dewan Seminar CAS, UUM pada Julai lalu. Abdul Halim Husain/UUM Today

Mentor tersebut akan menyediakan capaian kepada semua laporan penyelidikan dan analitik yang berkaitan, di samping melatih pasukan mengenai strategi perdagangan.

Pertandingan itu dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama atau cabaran saham selama tiga bulan dan ‘grand finale’ yang mana pasukan terpilih akan membentangkan prinsip dan strategi pelaburan mereka kepada panel hakim untuk dinilai.

Pertandingan ini telah memberi peluang kepada pelajar untuk memahami dunia perdagangan pasaran saham secara praktikal. Melalui simulasi perdagangan membolehkan peserta mempelajari kaedah berdagang dalam pasaran saham Malaysia dengan risiko hayat sebenar sifar dan bersedia untuk perdagangan sebenar niaga hadapan.

Majlis perasmian pertandingan ini juga telah dianjurkan oleh Kursi Bursa Malaysia, SEFB,UUM dan telah dirasmikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah pada 18 Julai lalu di Dewan Seminar CAS yang juga turut dihadiri Naib Presiden Kanan, Pendidikan, Kelestarian Kumpulan, Bursa Malaysia, A. A. Deepa.

Penyertaan UUM dalam pertandingan ini juga sekali gus menunjukkan sokongan UUM khususnya, SEFB kepada program-program anjuran Bursa Malaysia dan hubungan baik antara kedua-dua pihak ini diperkukuhkan lagi dengan dana endowment yang disalurkan oleh Bursa Malaysia kepada SEFB bagi tujuan pembangunan pelajar.

Selain UUM, turut serta dalam BISC 2022 ini ialah UM, USM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Taylor’s University, Multimedia University (MMU) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).