Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today
SINTOK: Ekonomi negara baru sahaja pulih dari impak pandemik Covid-19 dengan pertumbuhan pada kadar 8.7 peratus tahun lalu.
Bagaimanapun, pemulihan ekonomi ini tidak berlaku secara sekata kerana masih terdapat sektor dan industri yang masih belum pulih sepenuhnya.
Hakikatnya, dunia sudah berubah selepas pandemik, ditambah lagi dengan perubahan dalam kehidupan manusia terutamanya revolusi teknologi dan krisis iklim.
Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, di sinilah Universiti Utara Malaysia (UUM) boleh mula memainkan peranan sejak ditubuhkan hampir 40 tahun lalu.

“Sumbangan dan peranan UUM dalam membangunkan bidang Sains Sosial di peringkat negeri, kebangsaan dan juga antarabangsa amat penting dalam konteks pembinaan negara bangsa, pembangunan ekonomi negara dan wilayah serta kemaslahatan dunia sejagat.
“Pandemik Covid-19, Revolusi Teknologi dan Krisis Iklim adalah faktor yang menyebabkan perubahan dalam struktur ekonomi dunia secara radikal. Natijahnya, falsafah, sistem, dan nilai ekonomi juga secara organiknya akan berubah, seterusnya memberi implikasi dalam pasaran buruh yang akan mengalami perubahan,” katanya pada Sesi Kelima Majlis Konvokesyen Ke-35 UUM di Dewan Mu’adzam Shah, petang ini.
Seramai 974 graduan sarjana muda menerima ijazah masing-masing yang disampaikan oleh Naib Canselor.

Tambah Dr. Mohd Foad, nilai yang diberikan kepada sesuatu kerja dan pekerjaan juga tidak seperti dahulu, kemahiran yang diperlukan dan dilihat sebagai ‘berguna’ juga berubah.
Begitu juga perubahan dalam individu akan memberi kesan kepada kehidupan bermasyarakat, bernegara dan seterusnya kehidupan dalam konteks global, lokal serta hubungan dengan alam sekitar.
“Jadi, kita perlu membina nilai-nilai hidup berteraskan kemanusiaan yang bermula dengan konsep nilai sebagai tunjang kepada proses pembangunan ekonomi dan kemanusiaan, seterusnya mencorak hala tuju manusia pada era yang kita berhadapan pada hari ini dan juga masa mendatang yang lebih mencabar,” ujarnya.