UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM cakna ambil langkah proaktif pastikan keselamatan pekerjaan staf

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pejabat Pengurusan Risiko dan M Shahadat Ali Nordin/UUM Today

SINTOK: Seramai 252 staf Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengikuti Bengkel Penilaian Awalan Penilaian Risiko Ergonomik anjuran Pejabat Pengurusan Pengurusan Risiko (RMO) dengan kerjasama Unit Latihan, Jabatan Pendaftar di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), baru-baru ini.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Prof. Madya Dr. Azimah Chew Abdullah yang merupakan Ergonomics Trained Person (ETP) berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Timbalan Pengarah RMO, Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly dalam aluannya berkata, sudah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan UUM untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja, termasuk isu-isu berkaitan ergonomik sepertimana yang termaktub dalam Seksyen 15 (2)(e), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Menurutnya, penganjuran bengkel ini menunjukkan kesungguhan pihak pengurusan UUM dalam mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua warga UUM di tempat kerja.

Dr. Nor Azimah menerangkan tentang risiko ergonomik.

Dalam bengkel tersebut, Dr. Nor Azimah menerangkan hazard ergonomik boleh mengakibatkan penyakit otot rangka (musculoskeletal diseases -MSD) termasuklah ‘slip disc‘.

“Faktor proses kerja, cara kerja dan jumlah jam kerja menjadi antara penyumbang kepada peningkatan risiko MSD dalam kalangan staf UUM, di samping faktor individu seperti umur, jantina, keturunan dan seumpamanya,” katanya.

Pada sesi penutup, Pengarah RMO, Shahrul Nizam Ahmad berharap agar bengkel kali ini memberi manfaat kepada semua peserta.

Menurutnya, diharapkan semua peserta dapat memahami risiko-risiko ergonomik berkaitan dengan kerja masing-masing dan tampil memberi maklum balas yang sewajarnya kepada RMO supaya langkah sewajarnya boleh diambil oleh pihak pengurusan UUM. – Ts Dr. Syazwan Syah Zulkifly