UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM dan Salihin meterai LOI tingkat peluang kerjasama

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fairus Abd Majid/UUM Today

KUALA LUMPUR: Kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Akademi Salihin menerusi pemeteraian Surat Hasrat (LOI) diharapkan dapat membuka ruang dalam memberi penyelesaian berhubung pendidikan dan latihan bagi pembangunan profesional.

Pertukaran LOI itu melibatkan Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad yang mewakili Naib Canselor UUM dan Akademi Salihin diwakili Pengasas dan Rakan Kongsi Urusan Kumpulan SALIHIN Group, Dr. Salihin Abang.

Majlis bersejarah itu telah disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Fadillah Yusof yang hadir menyaksikan pertukaran LOI tersebut di Menara Felda, baru-baru ini.

Dalam ucapan Timbalan Perdana Menteri, beliau berharap pewujudan Akademi Salihin akan membantu dalam memberi penyelesaian berhubung pendidikan dan latihan bagi pembangunan profesional dalam bidang kewangan dan perbankan Islam, pengurusan perniagaan, automasi digital, analitik dan penyelesaian perakaunan.

“Ini adalah perancangan permulaan yang amat baik dan saya percaya jika dilaksanakan dengan teliti ia boleh membuka ruang untuk kejayaan yang lebih besar, mungkin dengan jalinan kerjasama dengan universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi tempatan,” katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Korporat Salihin dan Salihin Academy.

Sementara itu, Dr. Ram Al Jaffri berkata, UUM amat bertuah kerana berpeluang untuk memeterai jalinan kerjasama dengan Akademi Salihin demi kepentingan bersama dan juga sebagai usaha untuk mengukuhkan lagi kolaborasi yang sedia terjalin antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, kerjasama ini merupakan salah satu platform bagi menggalakkan aktiviti pengantarabangsaan seiring dengan keperluan akreditasi AACSB yang diperolehi oleh Kolej Perniagaan, amnya dan TISSA-UUM, khususnya.

Mengambil kira penglibatan Akademi Salihin yang aktif dalam perundingan dan penerbitan, diharapkan kolaborasi ini akan turut menyumbang kepada agenda universiti agar lebih banyak penyelidikan, penerbitan dan perundingan dapat dijalankan bersama industri.

“Semoga kerjasama ini dapat menyumbang kepada agenda universiti agar lebih banyak penyelidikan, penerbitan dan perundingan terutamanya bersama industri, di samping membantu dalam aspek akreditasi AACSB kerana tenaga pengajar Akademi Salihin berada di beberapa negara luar seperti United Kingdom dan Dubai, justeru perjanjian persefahaman ini secara tidak langsung akan memberi ruang dan peluang kepada staf akademik TISSA-UUM khususnya, dan UUM, umumnya, untuk berkolaborasi dan seterusnya dapat meningkatkan agenda pengantarabangsaan.

“Selain itu, kerjasama dengan Akademi Salihin ini juga membuka peluang kepada pusat pengajian untuk mengenal pasti dan mengembangkan kepakaran menerusi latihan-latihan yang akan dibuat secara bersama,” ujar beliau.     

Akademi Salihin juga ada menawarkan beberapa kursus profesional perakaunan seperti Certified Islamic Professional Accountant (CIPA) dan Certified Shari’a Advisor and Auditor (CSAA) di samping beberapa kursus profesional lain seperti Certified Islamic Bank Manager, Certified Islamic Banker, Certified Islamic Specialist in Accounting dan sebagainya.

Manakala Dr. Salihin berkata, pihaknya berminat menjalinkan kerjasama dengan UUM kerana beliau melihat universiti ini terutamanya TISSA memiliki potensi besar dalam pembangunan bidang perakaunan, pengauditan dan percukaian.

Menurutnya, pewujudan Akademi Salihin ini sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat bagi melatih anak muda untuk lebih berdaya saing dan memberikan peluang lebih cerah untuk mendapatkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Saya amat berharap agar inisiatif ini dapat dimajukan dan dikembangkan lagi bagi manfaat lebih ramai rakyat tempatan dan meletakkan sasaran untuk melatih seramai 60 penuntut yang akan menyertai program-program pensijilan profesional setiap tahun.

“Kita ingin terlibat dalam proses pembangunan modal insan terutama dalam bidang perakaunan, pengauditan dan percukaian ini, selain terus menyediakan perkhidmatan berkaitan perakaunan dan pengauditan, percukaian dan pengkastaman, kewangan Islam, perundingan korporat dan penyelesaian digital.” katanya.

Tambah beliau lagi, Akademi Salihin mempunyai hasrat besar untuk bekerjasama dengan UUM dan berharap selepas menandatangani LOI ini, ia akan diikuti memorandum persefahaman.

Hadir sama, Ketua Pegawai Akademik Salihin Academy, Prof. Madya Dr. Ahcene Lahsasna; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), TISSA, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), TISSA, Dr. Dzarfan Abdul Karim dan pegawai-pegawai kanan Akademi Salihin.