UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM dan ICU kerjasama bantu jana pendapatan Bumiputera Pulau Pinang

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Prof. Madya Dr. Jauriyah Shamsuddin/UUM Today

KEPALA BATAS: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah bekerjasama dengan Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (BPPBPP), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri menganjurkan Program Penjanaan Pendapatan Belia Wanita @ Isi rumah, baru-baru ini.

Ketua program, Prof. Madya Dr. Jauriyah Shamsuddin berkata, UUM telah dilantik sebagai perunding dalam membangunkan Pelan Pembangunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang 2023-2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada Ogos lalu.

Menurutnya, berdasarkan pelan tersebut, UUM telah mengemukakan cadangan bagi meningkatkan pendapatan golongan Bumiputera seterusnya dapat membangunkan satu produk kraf kreatif buatan Bumiputera Pulau Pinang.

“Pembangunan satu produk kraf kreatif yang akan diadaptasi dengan reka bentuk dicipta khas oleh Prof. Madya Ts. Dr.Adzrool dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), diharapkan akan menjadi satu produk pelancongan utama kepada Pulau Pinang.

“Memandangkan setakat ini tiada lagi produk kraf kreatif buatan Bumiputera Pulau Pinang berada dalam pasaran yang boleh diketengahkan. Justeru, kolaborasi kepakaran daripada Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) akan memberikan pendedahan kepada ilmu pengurusan dan keusahawanan,’ ujarnya.

Dr. Jauriyah berkata, sambutan peserta juga sangat menggalakkan berdasarkan pemerhatian semasa program dan juga maklum balas yang diberikan sebelum dan selepas program.

Beliau berharap agar peserta dapat mempraktikkan latihan yang diberikan dan mampu menjana pendapatan melalui kemahiran kraf kreatif ini.

Seramai 30 peserta daripada golongan Belia, Wanita atau Ahli Isi Rumah (AIR) bandar yang berdaftar dalam eKasih dan Persatuan Ibu Tunggal teruja menghadiri program tiga hari yang dianjurkan Industri Kraf Kreatif dan Uniutama Solution Sdn. Bhd. (USSB)

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail merakamkan penghargaan kepada Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (BPPBPP), Dr. Syaharudin Shah Mohd Noor atas kepercayaan dengan melantik UUM sebagai perunding bagi melaksanakan program tersebut.

Kata beliau, melalui program itu, peserta diberikan pendedahan mengenai komponen kemahiran skil pembuatan aksesori kraf kreatif yang melibatkan teori dan juga praktikal dalam menghasilkan produk-produk kraf kreatif seperti sulaman gelang tangan, tasbih, butang tudung, ‘lanyard’ cermin mata, ‘mask extender’ dan juga pelitup muka.

Antara objektif utama program adalah untuk melahirkan dan membangunkan modal insan daripada golongan wanita bertujuan untuk mengubah minda supaya lebih positif dengan mengenali potensi diri.

Peserta, Muhammad Akmal Abdul Rahman berkata, dia sangat teruja dapat menyertai program itu kerana mendapat pendedahan kepada penghasilan produk kraf kreatif, seterusnya dapat penjana pendapatan yang lebih tinggi.

Norasiah Hamid pula terharu kerana program tersebut telah membuka peluang kepadanya untuk mengenali potensi diri dan berupaya mencungkil bakat yang terpendam sehingga berjaya belajar untuk menghasilkan barangan kraf kreatif sendiri.

“Saya dan rakan peserta yang lain telah merancang untuk menjual barangan ini bagi menjana pendapatan sebaik sahaja tamat program kerana kami telah dibekalkan dengan peralatan kit latihan yang bernilai RM700 setiap seorang,” katanya. – Prof. Madya Dr. Jauriyah Shamsuddin