UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM dan Isabela State University bekerjasama dalam pengurusan sisa pepejal

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Suwannit Chareen Chit a/l Sop Chit/UUM Today

ECHAGUE (FILIPINA), 26 Mac – Tiga pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) terlibat dalam sebuah projek pengurusan sisa pepejal di wilayah San Antonio, baru-baru ini.

Pensyarah, Suwannit Chareen Chit a/l Sop Chit dan Musyrifah Mahmod dari Pusat Pengajian Pengkomputeran serta Dr. Emy Ezura Abdul Jalil dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik telah menjalin kerjasama dengan Pengarah Gender and Development, ISU, Dr. Jamimie Mateo dan Pengasas NGO Women on Waste, Madam Conchita La Madrid Palencia untuk projek tersebut.

Suwannit Chareen Chit berkata, kolaborasi ini bertujuan untuk memberi hak upaya kepada wanita dalam komuniti sambil menangani isu sisa seiring dengan 1st Gender and Development Summit di ISU.

Menurutnya, fokus projek ini adalah dua hala iaitu meneroka kaedah untuk menghasilkan arang dari kertas dan mencari cara inovatif untuk mengguna semula sisa plastik.

“Ini sejajar dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 5 yang mempromosikan kesamarataan gender dan hak-upaya wanita.

“Projek ini menekankan pentingnya kerjasama antarabangsa dalam menangani cabaran alam sekitar sambil mempromosikan kesamarataan gender dan kepimpinan wanita dalam komuniti tempatan,” katanya.

Beliau mengendalikan bengkel tersebut dan membimbing peserta melalui proses Design Thinking, manakala Musyrifah Mahmod menyampaikan sesi yang membangkitkan isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh wanita dalam era ekonomi gig serta Dr. Emy Ezura berkongsi pandangannya tentang amalan terbaik dalam pengurusan sisa.

Program Gender and Development ini dijalankan selama sebulan ini merangkumi ceramah utama, perbincangan panel dan bengkel tentang Design Thinking.

Penyelidik UUM menyampaikan hasil kajian mereka dan memimpin sesi tentang Penjanaan Idea dan Pengurusan Kajian berkongsi kepakaran mereka dengan peserta.

Kecekapan penyelidik UUM, digabungkan dengan pengetahuan tempatan ISU dan NGO Women on Waste membentuk asas yang kukuh untuk penyelesaian mampan di Echague, Filipina.