UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Kerjasama UUM dan Salihin Academy fokus empat agenda

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK: Kerjasama pintar antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Salihin Academy hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) akan memfokuskan kepada empat agenda utama.

Empat agenda tersebut iaitu perisian perakaunan, aplikasi ACL iaitu data analitik, robotik dan pembelajaran mesin (machine learning); Pensijilan ESG dengan kerjasama syarikat dari Amerika Syarikat serta perbankan Islam dan syariah serta perakaunan.

Pengasas dan Pengarah Kumpulan Salihin, Dr. Salihin Abang berkata, MoU yang ditandatangani itu akan diterjemahkan kepada pelan tindakan (action plan) yang diharapkan dapat dilaksanakan segera.

Menurutnya, Salihin dan UUM melalui Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz telah mengadakan perbincangan awal untuk merealisasikan hasrat berkenaan pada kadar segera.

“Kerjasama ini adalah untuk melihat anak bangsa berjaya dan dengan sokongan diberikan Naib Canselor dan pengurusan UUM serta Salihin akan menjadikan terjemahan ini realiti,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU Antara UUM dan Salihin Academy di Balai Tamu, petang tadi.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, UUM amat bertuah kerana berpeluang untuk memeterai jalinan kerjasama dengan Salihin Academy demi kepentingan bersama.

Menurutnya, kepakaran akademia di bidang ini tidak seharusnya terhenti di UUM, bahkan seharusnya perlu dikongsi melalui kerjasama dengan agensi luar seperti Salihin Academy.

“UUM menerusi TISSA telah memulakan siri kerjasama dengan Salihin Academy seperti dalam Professional Talk dan ESG Program. Justeru, saya berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan melalui MoU ini.

“Di samping itu, melalui kerjasama ini kedua-dua pihak dapat mengeratkan lagi hubungan strategik dan memberi peluang lebih luas kepada ahli akademia untuk berkongsi dan bertukar-tukar kepakaran, pengalaman dan ilmu,” katanya.

Dr. Mohd Foad berharap kerjasama pintar tersebut akan memberikan impak yang positif dalam perkembangan akademik, penyelidikan dan perkongsian kepakaran.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi); Prof. Dr. Russayani Ismail; Ketua Pengarah Eksekutif Salihin Academy, Dr. Ahcene Lahsasna; Dekan TISSA, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad dan pegawai kanan UUM dan Salihin Academy.