Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today
JITRA: Sebanyak 1,500 bekas bubur lambuk telah diagihkan kepada pelajar dan guru-guru Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajudin (SKSAT) sempena Program Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajudin dengan kerjasama Inapan Siswa (INASIS) MISC dan BSN, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.
Menurut Yang Dipertua PIBG SKSAT, Ahmad Sobri Hashim, sebanyak lapan periuk besar digunakan untuk memasak bubur lambuk kali ini yang melibatkan warga SKSAT bersama staf dan pelajar UUM.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah SKSAT, Basri Yusof berkata, program ini pertama kali dibuat secara besar-besaran dan pihak sekolah telah menjemput tukang masak khas dari UUM untuk mengetuai sesi memasak bubur lambuk.
“Kita dapati bubur lambuk yang dihasilkan tukang masak dari UUM ini sangat popular dan dinantikan setiap kali Ramadan.
“Program kerjasama ini diharap dapat memeriahkan dan menyemarakkan sambutan bulan Ramadan serta mengeratkan kerjasama antara pelajar dan staf INASIS MISC dan BSN bersama pihak sekolah selaras dengan hasrat universiti untuk menggalakkan warga UUM bagi menyertai program atau aktiviti sebagai salah satu tanggungjawab sosial,” katanya.
