SINTOK: Kejayaan demi kejayaan terus digapai Universiti Utara Malaysia (UUM) sehingga berjaya dikenali di pentas dunia dengan tersenarainya dalam ranking dunia dan juga Asia, malah menjadi kedua terbaik di Malaysia.
Sebagai penghargaan di atas pencapaian itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah meraikan warga universiti pada Majlis Apresiasi Pencapaian UUM bagi Times Higher Education (THE) World University Rankings di Auditorium SOIS, petang semalam.
Beliau berkata, kejayaan itu tidak boleh dibuat oleh seorang atau dua orang sahaja tetapi kejayaan semua yang menjadikan seluruh warga universiti lebih yakin dan percaya di atas kemampuan itu.
“Kita akan terus berusaha untuk melonjakkan visi, misi dan moto UUM dengan terus melakukan yang terbaik, asalkan kita masih percaya dan mempunyai harga diri untuk mengangkat nama baik universiti ini.
“Komitmen harus berterusan dan menjadi asas kekuatan luar biasa yang mungkin tiada di universiti di luar sana. Berilah perkhidmatan kita yang terbaik selaras dengan tagline Universiti Pengurusan Terkemuka.
“Sebagai pelajar pula, belajarlah bersungguh-sungguh dan terokai ilmu baharu sebaik mungkin dan persiapkan diri apabila keluar dari universiti ini, belalah bangsa dan negara,” katanya.
Menurut Haim Hilman lagi, universiti tidak mengejar ranking tetapi berusaha untuk membina kecemerlangan dan percaya dengan kualiti yang ditawarkan oleh UUM, justeru bangun dan teruskan perjuangan kerana tidak mudah untuk tersenarai dalam ranking tetapi warga UUM yakin dan berusaha sehingga berjaya.

Katanya, dengan ‘UUM GAGAH, UUM KOMPETITIF’ diharapkan akan dapat melonjakkan lagi nama universiti ini untuk 30 tahun akan datang dengan membentuk minda kelas pertama untuk berjaya.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan kelulusan geran bagi Program PENJANA KPT-PACE 2022 berjumlah RM 1.37 juta melibatkan sembilan program di bawah lapan pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Pusat Pengajian Undang-undang (SOL), Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA).
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perancangan Korporat (BPK), Prof. Madya Dr. Mazni Omar berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dengan memberi komitmen dan kerjasama tidak berbelah bahagi dalam proses penghantaran data kepada THE.
Menurutnya, universiti berjaya mengharungi cabaran dalam proses tersebut sejak mula tersenarai di dalam ranking dunia mahupun Asia dan beliau dapati pengurusan data semakin baik terutamanya kepada UUMIT yang banyak bekerjasama dengan BPK untuk memastikan data yang dihantar adalah berkualiti dan terbaik.
“Proses penghantaran data ini bukan sesuatu yang mudah, namun dengan adanya kerjasama berpasukan telah membolehkan kita semua mencapai kejayaan seperti hari ini.
“Kita akan pastikan penambahbaikan berterusan diadakan. Ini adalah peluang kita untuk memperbaiki beberapa indikator yang ditetapkan. Bukan untuk kita mendabik dada tetapi ia bertujuan agar kita semua tahu kelemahan dan kelebihan agar dapat kita tingkatkan lagi,” ujar beliau.