Gambar Unit Foto dan Media UUM
ALOR SETAR: Media memainkan peranan penting dalam mempromosikan sesebuah universiti sekali gus meningkatkan keterlihatan UUM di peringkat domestik dan antarabangsa.
Timbalan Pengarah (Media dan Pemasaran) yang menjalankan fungsi Pengarah UUM Corporate Communication (UCC), Universiti Utara Malaysia, Dr. Azahar Kasim berkata, media menyediakan satu wadah yang luas kepada masyarakat untuk menyampaikan info, pengetahuan dan perkembangan terkini yang ditawarkan oleh universiti.
Media turut membantu pensyarah dan penyelidik menyebar luas hasil penyelidikan dan idea yang memberi faedah kepada masyarakat dan negara serta memberikan impak positif sesebuah universiti dalam membina jenama yang hebat.
“Kita menyedari pentingnya hubungan ini, UUM telah mengambil inisiatif untuk bertemu dan meraikan para pengamal media dalam program Semanis Kurma UCC Bersama Media Kedah di pejabat mereka.
“Sempena Ramadan ini, kita meneruskan amalan beramah mesra dengan media bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam memberi liputan terhadap UUM serta menyampaikan kurma sebagai tanda ingatan tulus ikhlas dari warga UUM.

Selain itu katanya, sejak kebelakangan ini puluhan ribu diberhentikan kerja begitu juga industri media yang terpaksa dikurangkan kakitangan susulan impak penularan Covid-19.
“Dengan insiden yang berlaku menunjukkan kerja dalam industri media sangat rapuh kerana kita tidak tahu sampai bila boleh bertahan jadi saya mengajak rakan media untuk menyambung pelajaran di UUM dalam pelbagai program pengajian yang ditawarkan demi masa depan.
“Sekurang-kurangnya dengan sambung belajar peluang lebih terbuka misalnya kalau ada rezeki ke arah bidang akademik atau menjadi pensyarah kerana menerokai bidang pengajaran cukup menyeronokkan,” ujarnya.
Sebagai seorang bekas pengamal media yang berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan, Azahar cukup teliti dalam melihat keadaan semasa industri media agar terus relevan.
Antara rakan media yang ditemui, TV3, TV9, Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times, Astro Awani, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Utusan Malaysia, Kosmo!, The Star, Al-Hijrah, dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Sementara itu, Ketua Biro Bernama Kedah, Rhoma Ahmad Razali menyambut baik idea dan saranan yang dikemukakan dan berbesar hati dengan usaha UUM yang mengutamakan hubungan baik dengan media.
Katanya, hubungan yang baik di antara universiti dan pihak media memberi impak positif dan situasi menang-menang yang membawa faedah kepada kedua-dua pihak.
Justeru berharap jalinan dan kerjasama ini akan berterusan dalam membantu mengikut kapasiti masing-masing.

Manakala, Ketua Biro Berita Harian Cawangan Kedah/Perlis, M Hifzuddin Ikhsan Nek Kamal menyifatkan banyak ruang kerjasama untuk mengadakan pelbagai aktiviti seperti acara sukan, makan malam tahunan serta menjalin kolaborasi dengan Kelab Media Elit Kedah (KMEK) untuk menarik pengamal media yang ingin menyambung pengajian di UUM.
“Kita sedia mengadakan kerjasama menerusi lawatan ini yang dapat merapatkan semula hubungan antara UUM dengan pihak media,” ujarnya.