UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM intai peluang komersial tanaman ‘rock melon’ bantu tingkat ekonomi komuniti

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar CUIC/UUM Today

JITRA: Buah ‘rock melon’ atau tembikai wangi kini banyak diusahakan secara tanaman fertigasi di Malaysia dan dilihat mampu membantu meningkatkan ekonomi pengusaha.

‘Rock melon’ atau dikenali ‘Cantaloupe’ mempunyai kandungan air, antioksidan, vitamin dan mineral yang memberi banyak kebaikan kepada kesihatan.

Melihat kepada potensi besar dalam tanaman buah ‘rock melon’ ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) berhasrat untuk mencari peluang kerjasama dengan Yusof Ishak, pengusaha ladang buah berkenaan di Kampung Cerok Mokkan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, UUM berhasrat untuk bekerjasama dengan pengusaha ladang buah tersebut dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan komuniti setempat.

“Kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengurusan UUM untuk melihat kaedah yang sesuai bagi menjayakan kerjasama ini.

“Saya melihat tanaman buah ‘rock melon’ ini mempunyai potensi baik serta boleh memberikan impak yang tinggi kepada universiti, pengusaha serta komuniti yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Yusof berkata, beliau mengalu-alukan kerjasama dengan UUM pada masa hadapan.

Beliau juga telah memberi penerangan tentang kaedah proses penanaman, penjagaan sehingga proses pengkomersialan buah ‘rock melon’ itu.

Katanya, era teknologi canggih kini mendorongnya untuk turut beralih menggunakan kemudahan teknologi, terutamanya Internet Kebendaan (IoT) demi produktiviti dan kecekapan lebih baik.

“Melalui kaedah pertanian pintar, pekerja tidak perlu lagi turun ke lapangan bagi menabur baja, melakukan siraman dan sebagainya, sebaliknya mereka boleh berbuat demikian hanya menggunakan telefon pintar,” katanya.

Turut serta dalam lawatan ke ladang ‘rock melon’ ini ialah Pengarah CUIC, prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam; Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Prof. Madya Dr. Roslina Kamaruddin; Pengurus Bahagian Perniagaan dan Pelaburan, Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD), Dr. Suhaimi Ishak dan Timbalan Pendaftar, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC), Mohd Zulkifli Mohd Noor. – Noor Farishah Abdul Radzak