UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM, Jabatan Mufti Kedah rintis kerjasama martabat perkembangan ilmu

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK: Agenda perkembangan ilmu dan pembangunan masyarakat merupakan satu tanggungjawab yang dituntut oleh Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.

Bagi tujuan tersebut, Universiti Utara Malaysia telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Mufti Negeri Kedah di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin, hari ini.

UUM diwakili Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan dan Jabatan Mufti Negeri Kedah diwakili Mufti, Dato’ Syeikh Fadzil Awang.

Dr. Mohd Foad berkata, kerjasama hari ini merupakan perintis ke arah kerjasama strategik antara kedua-dua institusi dalam memartabatkan perkembangan ilmu sejagat serta mendukung Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan strategi korporat bagi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Dalam konteks ini, kepakaran akademia dalam bidang ini tidak seharusnya terhenti di UUM, bahkan seharusnya perlu dikongsi melalui kerjasama dengan agensi luar seperti Jabatan Mufti Kedah.

“Tambahan pula, beberapa siri perbincangan dan kerjasama telah bermula antara UUM dan Jabatan Mufti Negeri Kedah seperti dalam Projek Pembukuan Fatwa Negeri Kedah Darulaman, justeru saya berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan melalui MoU ini,” katanya.

Naib Canselor berkata, semoga jalinan kerjasama ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan akan memberikan impak yang positif dalam perkembangan akademik, penyelidikan dan perkongsian kepakaran antara UUM menerusi Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan Jabatan Mufti Kedah.

Syeikh Fadzil Awang.

Sementara itu, Syeikh Fadzil berkata, adalah satu kerugian sekiranya kepakaran yang dimiliki kedua-dua pihak hanya disimpan tanpa dimanfaatkan sebaiknya untuk masyarakat.

Menurutnya, di UUM mempunyai kepakaran yang lengkap dan beliau berharap kajian berimpak tinggi dapat disebar luas kepada masyarakat khususnya berkaitan isu-isu atau soalan kontemporari, selain berkaitan hukum hakam yang sememangnya dalam bidang Jabatan Mufti.

“Dengan kerjasama ini, saya berharap perkongsian pakar dari UUM dapat membantu, seterusnya dapat memudahkan Jabatan Mufti Kedah.

“Semoga jalinan ini akan berterusan dan disusuli dengan kerjasama selanjutnya demi kepentingan ummah,” ujar beliau.

Sebelum itu, beliau telah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Mencipta Kegemilangan’ di Dewan Seminar, Pusat Islam, seterusnya dibawa melawat Galeri UUM.

Dr. Mohd Foad (kanan) mengiringi Syeikh Fadzil melawat Galeri UUM, hari ini.