Gambar Unit Swaakreditasi/UUM Today
SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjadi pilihan tiga universiti iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengadakan lawatan penanda aras dalam pengurusan swaakreditasi, baru-baru ini.
Kedatangan mereka disambut Pengarah Institut Pengurusan Kualiti (IPQ), Prof. Madya Dr. Haniff Jidin di mana beliau berkata, pemilihan UUM sebagai destinasi lawatan penandaarasan ini memberikan pengiktirafan bahawa universiti ini mempunyai standard kualiti yang tinggi dalam pembangunan dan penawaran program akademik kepada pelajar.
Sesi sumbang saran antara UUM, UNIMAS dan UKM yang berlangsung semasa lawatan tersebut telah dipengerusikan oleh Pengarah Unit Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (AEDU), Prof. Madya Dr. Mohd Zailani, manakala sesi antara UUM dan USM dipengerusikan oleh Dr. Haniff.

Dr. Mohd Zailani berkata, sumbang saran ini merangkumi aspek-aspek penting mengenai proses dan mekanisme pembangunan serta akreditasi program-program akademik di UUM.
Selain itu, katanya, sesi sumbang saran turut menjurus kepada pertukaran pandangan berkaitan sistem akreditasi yang telah dibangunkan oleh UNIMAS dan UUM.
“Sesi lawatan penandaarasan ini dapat memperkukuhkan hubungan antara semua universiti terlibat dan langkah positif yang menunjukkan usaha bersama universiti-universiti berstatus swaakreditasi dan universiti yang sedang memohon status swaakreditasi untuk meningkatkan standard kualiti dalam pendidikan tinggi negara,” ujar beliau.
Sebelum itu delegasi dari UNIMAS, UKM, dan USM juga dibawa melawat ke Anjung Tamu UUM serta diberikan taklimat tentang pencapaian dan perkembangan universiti sejak penubuhannya. – Rohani Abdullah